Solari ramal JDT berdepan cabaran sengit

Solari - Foto FB Johor Southern Tigers
Solari - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

BIARPUN dilabel pasukan pilihan, namun pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Esteban Solari tetap meramalkan skuad Harimau Selatan itu bakal berdepan cabaran sengit pada aksi final Piala Malaysia menentang Terengganu FC (TFC), pada Jumaat.

Dengan nada merendah diri, pengendali kelahiran Argentina itu menyifatkan aksi final berdepan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner itu begitu mencabar dan melibatkan aksi berintensiti tinggi.

"Aksi final ini berbeza dengan saingan Liga Super... ia hanya satu perlawanan dan tempoh 90 minit bakal menentukan pemenang.

"Namun, ia pastinya perlawanan berintensiti tinggi, tetapi saya lega tiada pemain yang mengalami kecederaan dan ia sekali memberikan ruang untuk saya membuat persiapan rapi untuk aksi final nanti," katanya.

Untuk rekod, dalam dua pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini menyaksikan JDT melakar dua kemenangan iaitu pada aksi Piala Sumbangsih, (menang 2-0) 29 Februari lalu dan menang 3-1 bagi aksi Liga Super di gelanggang lawan pada aksi 9 Jun.

Setelah muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super musim ini, suad Harimau Selatan itu dilihat berada di landasan tepat untuk melakar sejarah baharu bola sepak negara dengan memenangi Piala Malaysia bagi melengkapkan kejuaraan 'quadruple' (empat piala semusim) kali ini seperti yang dilakukan musim lalu, dan sekali gus mencipta rekod 'double quadruple. '

Sementara itu Solari berkata, dia gembira semangat serta dengan karakter yang ditunjukkan setiap pemain menjelang aksi final kali ini.

Katanya, perkara itu sekali gus menunjukkan kematangan kesebelasan skuad Harimau Selatan itu dan melupakan apa yang berlaku di Jepun (tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale dalam saingan ACL), minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Saya berpuas hati dengan sikap setiap pemain yang bukan sahaja bermain bola sepak dengan sistematik sebaliknya mereka memiliki keinginan untuk menang dalam setiap perlawanan malah mentaliti mahukan kemenangan menjadi kunci utama.

"Final kali ini berlangsung di Bukit Jalil yang juga merupakan gelanggang berkecuali buat skuad Harimau Selatan dan Terengganu FC.

"Apa pun, saya percaya barisan pemain yang bakal diturunkan nanti bersedia untuk memberi persembahan terbaik bagi mengekalkan kejuaraan berprestij yang dimenangi pada musim lalu," katanya.