Isu minyak peket: Peniaga jangan jadi duri dalam daging

Minyak masak peket bersubsidi. - Gambar hiasan Foto Bernama
Minyak masak peket bersubsidi. - Gambar hiasan Foto Bernama
A
A
A

ISU membabitkan minyak masak peket bersubsidi antara yang kerap dilaporkan media. Masih ada pihak tidak bertanggungjawab menyeleweng, menyorok dan menyeludup barang keperluan berkenaan.

Terbaharu di Perak, media melaporkan, seorang peniaga menyorok produk berkenaan dan hanya menjual kepada warga asing.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Datuk Kamalludin Ismail, perbuatan itu dibongkar selepas penguat kuasa KPDN melakukan penyamaran sebagai pembeli.

Walaupun ada yang beranggapan isu minyak masak peket sebagai kes terpencil, namun ia memberi kesan besar kepada golongan bawahan.

Malah, mungkin ada banyak lagi perbuatan seperti itu yang belum dibongkarkan.

Persoalannya, mengapa peniaga tersebut tergamak menjual kepada warga asing sahaja, tidak kepada warga tempatan.

Tidak mungkin warga asing membelinya dengan harga lebih mahal.

Apabila berlaku kes di Perak itu, jelas malang buat rakyat Malaysia kerana hak mereka seolah-olah dirampas warga asing yang menumpang di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Justeru, pihak berkuasa perlu membuat pemantauan lebih kerap dan tindakan tegas diambil kepada peniaga yang boleh disifatkan sebagai ‘pengkhianat’ negara ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh menyatakan bahawa pelaksanaan menggunakan pengenalan diri (ID) bagi tujuan pembelian minyak masak peket oleh kumpulan sasar akan bermula tahun depan.

Ia bertujuan untuk memastikan hanya pihak benar-benar layak menerima subsidi kerajaan selain mengelakkan ketirisan yang menyebabkan kekurangan dalam pasaran.

Diharapkan ia dapat dilaksanakan segera. Selain memastikan hanya yang berhak menerima subsidi, ia juga mengurangkan kerugian yang perlu ditanggung kerajaan.

Bagaimanapun, apa pun usaha yang dilaksanakan ia perlu mendapat sokongan daripada semua pihak terutama rakyat bergelar peniaga dan pengguna agar beban itu tidak hanya ditanggung oleh kerajaan sahaja.

Bagi peniaga, bertindak jujurlah dan tidak menjadi duri dalam daging dalam isu minyak masak peket. Rakyat pula, pastikan anda tahu hak sebagai pengguna.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!