Pindahan tunai ganti subsidi minyak masak peket - Johari

Harga jualan minyak masak peket ditetapkan pada RM2.50. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Johari)
Harga jualan minyak masak peket ditetapkan pada RM2.50. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Johari)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mencadangkan agar kerajaan melaksanakan sistem pindahan tunai bagi menyalurkan subsidi kepada kumpulan layak untuk membeli minyak masak peket.

Beliau berkata, bukan hanya subsidi sampai kepada golongan sasar dan menjimatkan wang kerajaan, malah memudahkan proses penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Ketika ini negara mengeluarkan 60 juta minyak masak peket setiap bulan atau 720 juta setahun yang dijual pada harga RM2.50 sepeket dan disasarkan untuk dimanfaatkan oleh 3.2 juta isi rumah B40.

"Bagaimanapun berlaku ketirisan antaranya ada dalam kalangan pemborong menjual kepada syarikat mikro dengan harga lebih daripada RM2.50 menyebabkan sasaran subsidi tidak berlaku," katanya.

Beliau berpandangan, tiba masanya minyak masak dibuat secara pindahan tunai, contohnya setiap rumah B40 yang menggunakan lima kilogram (kg) minyak masak diberikan subsidi berdasarkan penggunaan itu.

"Perbezaan dengan harga pasaran itu kita buat pindahan tunai. Jadi KPDN tak payah buat penguatkuasaan, ambil duit jadi pasaran jual semua sama," katanya semasa soalan tambahan yang dikemukakan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh kemudian dalam jawapannya bersetuju dengan cadangan Johari yang mampu mengelakkan ketirisan penjualan minyak masak peket.

"Saya setuju apa yang Titiwangsa cakap, ada ketirisan dan pindahan tunai mungkin merupakan cara yang terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Mekanisme kita belum tuntaskan, tapi itulah arah dan hala tuju kita," katanya.