The Monsoon akhiri saingan Piala Emas SSL di tangga ke-10 dunia

The Monsoon memberi tentangan sengit untuk meraih tempat ke-10 Piala Emas SSL di Gran Canaria. - Foto SSL Malaysia
The Monsoon memberi tentangan sengit untuk meraih tempat ke-10 Piala Emas SSL di Gran Canaria. - Foto SSL Malaysia
A
A
A

PASUKAN Malaysia yang dikenali sebagai The Monsoon tetap boleh berasa bangga selepas hampir mara ke saingan separuh akhir Piala Emas Star Sailors League (SSL) di Gran Canaria.

Walaupun tewas kepada Les Blues dari Perancis di peringkat suku akhir minggu lalu, pasukan perahu layar kebangsaan tetap dihormati lawan dan kawan.

Ia selepas mempertontonkan kerjasama sepasukan dan tekad tinggi sepanjang kembara di lautan Atlantik dalam laluan menduduki tangga ke-10 keseluruhan untuk pertandingan yang dianggap sebagai Piala Dunia pelayaran.

“Kami bangga dapat menduduki tangga ke-10 secara keseluruhan,” kata kapten pasukan, Megat Danial Megat Najmuddin.

Dengan pasukan Spitfire Great Britain mendominasi saingan suku akhir Fleet 1 sejak hari pertama bagi mengesahkan slot ke separuh akhir lebih awal, pertarungan sebenar tertumpu kepada saingan di antara Perancis dan Malaysia untuk merebut slot kedua ke separuh akhir.

Tiada yang membezakan kedua-dua pasukan dengan The Monsoon tampil pada hari terakhir suku akhir satu mata mengatasi Perancis.

Malang buat Malaysia, Perancis bijak mengatur keadaan bagi menghukum lawan yang diberi mata penalti di ambang permulaan perlumbaan atas sebab kaedah pelayaran berbahaya, sekali gus melewatkan permulaan The Monsoon.

Dengan Great Britain mendahului, Malaysia mengatur gerak awal dengan melakukan gybe, satu tindakan mengubah haluan di mana layar bergerak dari satu sisi bot ke sisi bagi melawan angin yang menuntut kerjasama rapat pelayar atas arahan jelas daripada jurumudi.

Artikel Berkaitan:

Great Britain mengumpul 20 mata sempurna kerana memenangi keempat-empat perlumbaan mereka dalam Kumpulan 1, Malaysia cuba merapatkan kedudukan tetapi Perancis teguh bertahan bagi menamatkan perlumbaan di tempat kedua dan menjamin tempat ke separuh akhir.

Sebelum ini, pasukan perahu layar kebangsaan melangkah ke suku akhir apabila mengungguli Kumpulan 1 dalam pusingan eliminasi 1/8, mengejutkan negara-negara yang ranking lebih tinggi seperti Amerika Syarikat (ranking ke-4 dalam ranking dunia SSL) dan Argentina (ranking ke-20).

“Di peringkat suku akhir, kami menentang kuasa besar, Great Britain (ranking kedua dunia), Perancis (keenam) dan Denmark (tujuh). Dengan Great Britain setakuk lebih unggul.

“Kami memberikan saingan yang sengit kepada Perancis. Kami puas hati sampai sejauh ini dengan memenuhi matlamat untuk berada dalam kalangan 20 negara terbaik,” ujar Megat Danial.

Walaupun kecewa dengan keputusan penganjur menghukum pasukan negara pada peringkat pra-mula pada hari terakhir, Megat Danial berkata, pasukan boleh merasa puas kerana berjaya menamatkan saingan di tempat ke-10 secara keseluruhan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada penaja dan rakan kongsi kami termasuk Penaung Diraja The Monsoon, Tengku Amir Sultan Sharafuddin Idris Shah, Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) dan Kumpulan Berjaya kerana menaruh kepercayaan kepada kami.

"Tidak lupa penghargaan buat majikan pelayar kami yang mengambil cuti panjang daripada tugas masing-masing demi membawa nama negara bersaing dengan pelayar terbaik di dunia,” kata Megat Danial.

The Monsoon diwakili oleh Khairulnizam Mohd Affendy sebagai jurumudi, dibantu oleh jurutaktik Nur Shazrin Mohamad Latif, Ahmad Faizul Aswad Mohamed (Grinder), Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (Trimmer), Ahmad Khairulhafiz Mohd Khmbali (Offside Trimmer) dan Mohd Azhar Sadon Zubir (Pitman).

Pelayar lain ialah Uzair Amin Mohd Yusof (Mainsail Trimmer), Mohd Akiyuddin Mat Zaki (Floater) dan Mohd Saifullah Mohd Esa (Bowman).

Dua simpanan pula adalah Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi (Spare Trimmer) dan Rizal Mahadi Sazili (Spare Floater).

Dua pelayar yang sebelum ini menjadi sebahagian daripada krew - Ahmad Syukri Abdul Aziz (Offside Trimmer) dan Asri Azman (Floater) - terpaksa pulang ke Malaysia lebih awal atas komitmen lain.