KL City raih slot suku akhir Piala Malaysia

Kipre (kiri) meledak satu gol ketika membantu KL City menewaskan Penang 1-0 di Cheras pada Jumaat. Foto Facebook MFL.
Kipre (kiri) meledak satu gol ketika membantu KL City menewaskan Penang 1-0 di Cheras pada Jumaat. Foto Facebook MFL.
A
A
A

KUALA Lumpur (KL) City FC menepati ramalan apabila mara ke suku akhir selepas mengalahkan Penang FC 1-0 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Gol tunggal menerusi penyerang import, Tchetche Kipre pada separuh masa kedua sudah cukup buat skuad warga Kota menempatkan diri berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik menerusi agregat 5-0.

Babak pertama menyaksikan pasukan pelawat melakukan beberapa percubaan berbahaya ke atas benteng pertahanan KL City.

Pasukan tuan bagaimanapun boleh menarik nafas lega susulan percubaan Nik Akif Syahiran dan Hassan Saad gagal menemui sasaran.

Malang turut menimpa KL City apabila Giancarlo Galifuoco dilayangkan kad merah sekali gus menjejaskan percaturan pasukan tuan rumah.

KL City berpeluang mendahului pada lewat separuh masa pertama, namun percubaan Kipre sedikit tersasar.

Memasuki babak kedua, Penang FC memperkemaskan rentak permainan dan kerap mengancam kubu pasukan tuan rumah.

Kecemerlangan penjaga gol KL City, Azri Ghani wajar dipuji apabila menafikan beberapa percubaan berbahaya Penang FC.

Artikel Berkaitan:

Biarpun berbekal empat jaringan, KL City enggan berasa selesa, sebaliknya menyusun strategi untuk merobek gawang lawan.

Gol yang ditunggu-tunggu akhirnya kunjung tiba apabila kesilapan pertahanan Penang, Rafael Vitor membawa padah.

Vitor yang gagal mengawal bola dengan kemas dihukum Kipre yang menyambar bola untuk menggegar gawang Penang FC pada minit ke-70.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat sekali gus menyaksikan KL City menjadi pasukan pertama melangkah ke suku akhir Piala Malaysia.