'Orang tidak ramal Perak layak suku akhir Piala Malaysia' - Yusri

Seo Seonung (kiri) menjaringkan gol penting Perak FC pada minit ke-86 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. - Foto PERAK FC
Seo Seonung (kiri) menjaringkan gol penting Perak FC pada minit ke-86 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat. - Foto PERAK FC
A
A
A

PENGENDALI Perak FC, Yusri Che Lah memaklumkan ramai meramalkan pasukan tersebut tidak mampu mara ke suku akhir Piala Malaysia 2023 walaupun membawa keputusan 1-3 menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada perlawanan pertama pusingan 16, 3 Ogos lalu.

Namun sebaliknya berlaku apabila mereka melakukan kejutan menyingkirkan Sang Kenari dengan agregat 3-4 walaupun tewas 2-1 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

"Saya rasa orang tidak ramal kita akan mara ke suku akhir. Apabila kita bermain dengan 10 orang dan selepas itu Kedah memperoleh gol kedua sebenarnya sudah menamatkan perjuangan kami tapi perancangan ALLAH untuk kami lebih baik.

"Alhamdulillah jaringan yang amat diperlukan tercipta (menerusi Seo Seonung pada minit ke-86)," katanya pada sidang media di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Menurut Yusri, mereka tidak datang untuk bertahan selepas memiliki kelebihan dua jaringan selain cuba mengimbangi permainan KDA FC, namun perlawanan semakin mendebarkan selepas perlawanan bertali arus melancarkan serangan.

"Selepas beraksi 10 pemain, saya sebenarnya buntu fikir kerana kita nak masuk dalam kotak penalti mereka pun susah dan kami tawakal. Apabila ketiadaan seorang pemain, saya terpaksa meletakkan lima pemain pertahanan.

“Syukur kerana kita dah melakukannya di Pahang dan JDT. Pemain yang dimasukkan boleh beraksi seperti mana kita inginkan dan walaupun ketinggalan dua jaringan tetapi pemain bangkit," ujar beliau.

Sementara itu, pengendali KDA FC, Nafuzi Zain berkata, beliau berharap pemainnya dapat memperbaiki permainan masing-masing agar kesilapan yang sering dilakukan tidak menjejaskan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi peluang kita banyak cipta peluang tapi kesilapan yang kita buat, kita dihukum pasukan lawan,” katanya