17 NGO desak kerajaan 'cari jalan' agar Israel buat gencatan senjata

Seorang kanak-kanak cedera selepas serangan bom Israel di Gaza. - Foto AFP Gambar kecil: Mohamed
Seorang kanak-kanak cedera selepas serangan bom Israel di Gaza. - Foto AFP Gambar kecil: Mohamed
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 17 badan bukan kerajaan (NGO) Sekretariat Selamatkan Gaza Bebaskan Al-Aqsa mendesak kerajaan mengambil langkah yang bersesuaian untuk memaksa rejim aparteid Israel melaksanakan gencatan senjata di Gaza dan Tebing Barat serta-merta.

Antara 17 NGO tersebut ialah Majlis Profesor Negara, Persatuan Ulama Malaysia, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Cinta Gaza Malaysia.

Pengerusi Sekretariat Selamatkan Gaza Bebaskan Al-Aqsa, Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa berkata, tindakan itu sebagai rumusan dalam perbincangan Resolusi 14 Perkara semasa majlis Diskusi Meja Bulat pada 18 November lalu untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kerajaan dapat mengambil langkah-langkah tertentu sebagaimana disarankan bagi memastikan misi kemanusiaan dan perubatan diberi segera untuk membantu rakyat Palestin berhadapan dengan krisis yang tiada tolak bandingnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Mohamed Mustafa, rakyat juga digesa untuk melaksanakan tindakan Boikot, Lupus dan Sekat (BDS) ke atas Israel secara berterusan.

“Syarikat antarabangsa dan entiti yang menyokong pemerintahan Israel menzalimi rakyat Palestin juga perlu diboikot serta menamatkan segera dasar Aparteid yang dilaksanakan Israel di semua wilayah yang diduduki dan dikuasai mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa semua pihak NGO daripada pelbagai institusi dan agensi untuk memainkan peranan dan bekerjasama dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai ke atas isu berkaitan Israel-Palestin.

“Bagi mencapai matlamat ini, adalah disarankan institusi pendidikan daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat tinggi memainkan peranan yang lebih berkesan dalam menyebarluaskan maklumat, kefahaman, istilah dan terminologi, serta naratif yang tepat dalam isu yang berkait dengan konflik Israel-Palestin,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Mohamed Mustafa yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara itu menggesa agensi media arus perdana dan dalam talian menggunakan istilah atau naratif yang tepat dalam melaporkan serta menyampaikan kandungan berita mengenai konflik Israel-Palestin.

“Seluruh dunia telah bangkit menyatakan bantahan, rasa kemarahan dan kekecewaan ke atas Israel serta kuasa-kuasa besar yang menyokong negara haram itu namun, mereka masih meneruskan tindakan pembunuhan beramai-ramai tanpa belas kasihan,” katanya.