MSF desak semua negara bersama capai gencatan senjata di Gaza

Orang ramai menjalankan kerja menyelamat selepas serangan Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto Xinhua
Orang ramai menjalankan kerja menyelamat selepas serangan Israel di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza. - Foto Xinhua
A
A
A

SHAH ALAM - Doctors without Borders/ Médecins Sans Frontières (MSF) menggesa kerajaan pelbagai negara berusaha dalam memastikan gencatan senjata berlaku secara berterusan di semenanjung Gaza, Palestin.

MSF dalam satu kenyataan memaklumkan, sekarang merupakan waktu yang tepat untuk Malaysia memperkukuh seruan dalam menghormati perlindungan terhadap masyarakat awam.

Menurutnya, negara perlu menggunakan pengaruh diplomatik untuk meyakinkan rejim Zionis bahawa hukuman mati yang dikenakan kepada penduduk Gaza adalah tidak berperikemanusiaan.

“Gencatan senjata yang terjadi baru-baru ini bukan jalan penyelesaian terhadap konflik yang telah berlaku bertahun lamanya.

“Sebarang usaha dalam menghentikan keganasan yang dialami oleh penduduk Gaza amat dialu-alukan walaupun ia cuma seketika. Lebih baik jika tempoh itu, mereka dapat akses kepada belakan perubatan, makanan dan air,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Médecins Sans Frontières
Médecins Sans Frontières

Bagaimanapun, MSF menjelaskan bahawa gencatan senjata sementara ini tidak mencukupi kerana penduduk Gaza memerlukan banyak bantuan untuk memenuhi keperluan yang besar.

Sementara itu, kenyataan berkenaan turut menjelaskan bahawa Israel telah mengenakan sekatan ke atas Gaza sejak tahun 2007 dan ia diibaratkan sebagai penjara terbuka serta terbesar di dunia.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekatan dikenakan rejim Zionis terhadap akses kemanusiaan telah mengakibatkan bantuan yang sangat diperlukan tidak dapat disampaikan.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut memaklumkan, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan ketakutan yang dilakukan oleh Israel terhadap orang awam Palestin.

“Israel secara terang-terangan menunjukkan sikap mereka yang tidak menghiraukan perlindungan kemudahan perubatan Gaza. Kami menjadi saksi ketika hospital bertukar menjadi bilik mayat dan runtuhan.

“Mereka diserang dengan kereta kebal dan senjata api malah dikepung serta diserbu, menyebabkan pesakit dan kakitangan perubatan terbunuh,” kata kenyataan itu.

Justeru, MSF menggesa segala serangan yang dilancarkan terhadap Gaza secara berterusan itu perlu dihentikan dengan segera.

“Pemindahan secara paksa dan serangan ke atas hospital dan kakitangan perubatan perlu dihentikan sekarang.

“Kami menggesa anda (kerajaan Malaysia) untuk mengambil tindakan. Tegakkan kemanusiaan yang kita kongsi bersama,” kata kenyataan itu.