Ternakan terjejas binatang buas boleh mohon bantuan baka ternakan

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

SEREMBAN - Penternak yang terjejas akibat ancaman binatang buas boleh memohon bantuan baka ternakan bagi membangunkan semula aktiviti penternakan mereka melalui skim 'Double Up 2.0' yang disediakan kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan(JPVNS).

Exco Kanan merangkap Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias(BN-Pertang) berkata, melalui skim berkenaan, penternak boleh mendapatkan baka ternakan yang berkualiti pada kadar harga 70 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

"Ia melalui kaedah geran padanan tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

"JPVNS tidak mempunyai sebarang insentif khas berkaitan kemusnahan atau kematian ternakan yang disebabkan serangan binatang liar atau binatang buas dan insentif itu hanya terhad kepada kemusnahan yang disebabkan oleh bencana sahaja," katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Muhammad Sufian Maradzi (BN- Seri Menanti) berkenaan isu hidupan liar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan yang mengganggu penduduk.

Menurutnya, kehilangan habitat, tahap kemandirian serta kadar pembiakan yang tinggi adalah antara faktor penyumbang kepada permasalahan itu.

Ujarnya, aduan konflik manusia berkenaan hidupan liar yang diterima setiap tahun adalah melibatkan spesies kera, babi hutan, harimau kumbang, beruang matahari dan tapir.

"Punca utama konflik manusia-hidupan liar ini berlaku disebabkan persaingan bagi mendapatkan makanan dan ruang untuk hidup antara manusia serta hidupan liar.

Artikel Berkaitan:

"Bagi aduan yang telah selesai dengan tindakan, pihak Jabatan Perhilitan turut memantau keadaan di lokasi aduan dari masa ke masa," katanya.

Jalaluddin berkata, antara usaha yang diambil bagi mengatasi konflik spesies hidupan liar terutamanya bagi spesies harimau kumbang dan kera ialah mengadakan program bersepadu bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung atau pemegang taruh.

Selain itu katanya, penubuhan Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Konflik Hidupan Liar Peringkat Negeri Sembilan, siasatan dan pemasangan perangkap bagi aduan gangguan.

"Dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, sebanyak 3,612 ekor kera telah ditangkap membabitkan 401 aduan manakala sebanyak 14 ekor harimau kumbang ditangkap membabitkan 36 aduan," katanya.