Malaysia kembali ke landasan betul di peringkat antarabangsa - Zambry

Zambry
Zambry
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan antara pencapaian besar kementerian dalam arena diplomatik negara sepanjang setahun kerajaan Madani adalah berjaya meletakkan Malaysia kembali di landasan betul, baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

Beliau berkata, perkara itu jelas membantu Malaysia dilihat sebagai sebuah negara dihormati khususnya apabila diundang dan diberikan ruang baru-baru ini untuk menghadiri dua mesyuarat penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Yang pertama adalah bagi menyatakan pendirian negara dalam isu Palestin iaitu di Mesyuarat Pleno Sesi Ke-78 Perhimpunan Agung PBB, kedua Debat Terbuka Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) 28-29 November.

Di kedua-dua mesyuarat itu di mana beliau mewakili negara, bersama negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kumpulan Arab dan negara-negara yang sehaluan di platform PBB meningkatkan momentum dan memberi tekanan supaya hak rakyat Palestin dikembalikan.

"Justeru, saya berpendapat dalam tempoh setahun ini Kementerian Luar membuat anjakan penting dalam usaha letakkan Malaysia kembali di persada antarabangsa, disokong dengan beberapa visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA selepas menjadi tetamu program bual bicara ‘Naratif Khas’ terbitan RTM bersama moderator Ismail Adnan di sini, Isnin malam.

Terdahulu dalam program bual bicara itu, Zambry berkata, perjuangan Malaysia menyokong pembentukan Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat bukan sesuatu yang bermusim malah ia adalah perjuangan konsisten dan berterusan bermula seawal kemerdekaan negara.

Mengenai pandangan sinis sesetengah pihak kononnya suara yang diajukan Malaysia tidak berupaya menyelesaikan konflik yang berlaku antara Israel-Palestin, Zambry berpendapat, pimpinan Malaysia tidak seharusnya kecewa dengan pandangan sedemikian biarpun Malaysia adalah negara kecil.

"Dengan setiap perjuangan ini kena konsisten, jangan kita kecewa dengan apa berlaku dan walaupun kita hanya sebuah negara kecil, tetapi suara kita yang tegas dan konsisten untuk melihat kezaliman dihentikan dan sebuah negara merdeka bagi rakyat Palestin merupakan satu perjuangan panjang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Wisma Putra sering mengeluarkan kenyataan hampir setiap bulan tentang konflik Israel-Palestin termasuk isu penempatan haram Israel yang mengeluarkan rakyat Palestin dari kampung halaman mereka.

Mengenai pencapaian hubungan diplomatik yang dijalin Malaysia dengan negara luar dalam tempoh setahun ini, beliau menarik perhatian bagaimana Malaysia berusaha meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelancongan bersama Kazakhstan bagi memanfaatkan potensi hubungan dua hala dengan bekas republik Kesatuan Soviet itu.

Dalam masa setahun ini, hubungan Malaysia dan Kazakhstan bertambah erat dan ada beberapa syor dibuat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan jumlah penerbangan antara kedua-dua negara itu.

Malah, beliau juga berkata, negara Ghana melihat Malaysia sebagai model terbaik untuk diikuti dan perlu ditingkatkan hubungan dua hala.

Mengenai dakwaan OIC seolah-olah mengunci mulut dalam isu keganasan yang berlaku di Semenanjung Gaza, Zambry berkata, Malaysia memang mahu melihat pandangan yang lebih tuntas dan mantap daripada OIC berhubung isu berkenaan dan ‘tidak mahu melihat sebuah pertubuhan yang dilihat tidak berfungsi’.

Malah kali ini, hampir keseluruhan anggota negara OIC berlatarbelakangkan pelbagai bentuk kepimpinan dan ideologi termasuk negara yang menjalin hubungan diplomatik dengan Israel lantas bersuara menyatakan tindakan serius perlu diambil di bumi Gaza.

Antara langkah susulan OIC kali ini adalah memanggil sidang di peringkat ketua kerajaan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.

Mengenai isu Laut China Selatan yang menjadi topik pertikaian pelbagai pihak terutama negara kuasa besar, Zambry berkata, Malaysia memang sehaluan dengan pendirian negara anggota ASEAN yang mahu Laut China Selatan dikekalkan sebagai zon bebas dan aman.

"Kita mahu rantau ini dijadikan untuk perusahaan dan sebagai rantau perdagangan yang baik dan aman untuk semua pihak menikmati hasil pergerakan maritim di kawasan berkenaan,” katanya. - Bernama