Putera Mahkota Arab Saudi hasrat adakan lawatan rasmi ke Malaysia - PM

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

RIYADH - Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia menjelang akhir tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hasrat itu dizahirkan semasa dialog khas Putera Mahkota Arab Saudi itu bersama beberapa pemimpin negara lain termasuk Perdana Menteri Mesir, Jordan dan Pakistan di luar Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini semalam.

"Putera Mohammed telah menyebut bahawa beliau akan cuba untuk melawat Malaysia sebelum akhir tahun ini, (tarikh) belum muktamad lagi," katanya.

Anwar berkata, selain mengukuhkan hubungan dua hala Putrajaya-Riyadh, Putera Mohammed menekankan agar Arab Saudi memberi tumpuan kepada pelaburan skala besar di Malaysia.

"Saya lihat beliau bersungguh-sungguh mahu supaya Malaysia diberi tumpuan dan dalam perbincangan dengan Menteri-Menteri dan syarikat (Arab Saudi) juga, nampak kesungguhan yang sama.

"Saya jumpa Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan (Arab Saudi) semalam pun sebut bahawa arahan itu jelas dan kita harap ini dapat dilaksanakan segera, terpulang kepada kesediaan dan tahap kecepatan kelulusan oleh agensi-agensi Malaysia," katanya kepada media Malaysia di sini hari ini pada akhir lawatan kerja tiga hari beliau ke Arab Saudi.

Anwar berkata, beliau telah meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk menyelaras perkara itu.

Tengku Zafrul yang turut serta dalam sidang media itu berkata, Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr Majid bin Abdullah Al-Qasabi akan melawat Malaysia minggu depan.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Perdana Menteri juga berkata, beliau membincangkan konflik di Gaza dengan Putera Mohammed dan menyatakan bahawa isu itu akan tetap menjadi keutamaan Malaysia.

"Saya meluahkan harapan agar negara-negara Islam bersepakat untuk menegaskan bahawa kekejaman Israel di Gaza tidak boleh berlanjutan dan dimaafkan," katanya.

Perdana Menteri turut berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin negara lain antaranya Iraq, Rwanda, Jordan, Pakistan dan Qatar bagi memperkukuh hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan serta pelaburan.

Perbincangan Anwar dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa turut membuahkan hasil positif apabila mereka menyatakan minat untuk melabur di Malaysia antaranya syarikat pembekal tenaga global TotalEnergies yang berpangkalan di Perancis dan syarikat gergasi tenaga boleh baharu ACWA Power yang berpangkalan di Arab Saudi.

Perdana Menteri berada di Arab Saudi bagi menyertai Mesyuarat Khas WEF yang berakhir hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama dua hari bermula semalam bertemakan 'Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan' itu dihadiri oleh lebih 1,000 peserta termasuk ketua-ketua negara dan kerajaan selain pemimpin perniagaan serta industri. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!