Orang ramai boleh mula tebus kredit eMadani hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang layak boleh mula menebus kredit e-tunai eMadani sebanyak RM100 bermula jam 8 pagi hari ini hingga jam 11.59 malam, 20 Februari 2024.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam hantaran di laman Facebook menyebut orang ramai boleh menyemak kelayakan di portal rasmi https://manfaat.mof.gov.my/individu/eMadani.

Menurut MOF, orang ramai boleh menggunakan kredit RM100 eMadani untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow.

Menurut soalan lazim (FAQ) disediakan di laman web MoF, kredit e-tunai yang dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia boleh digunakan untuk pembelian fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet.

Berdasarkan FAQ itu, syarat kelayakan bagi program berkenaan adalah pemohon mesti warganegara Malaysia berusia 21 tahun ke atas pada tahun ini.

Selain itu, pemohon juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berdasarkan rekod pada 7 November atau mempunyai pendapatan berjumlah RM100,000 dan ke bawah setahun berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 15 Julai.

Langkah verifikasi identiti secara elektronik Know-Your-Customer (eKYC) dengan penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan juga perlu dipenuhi sebelum permohonan kredit eMadani boleh dibuat.

Setelah pemohonan diterima dan kredit e-tunai dimasukkan, penerima perlu membelanjakannya sebelum jam 11.59 malam, 29 Februari 2024 dan selepas itu, baki yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet penerima.

Melalui program yang bertujuan meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai serta meringankan beban kewangan rakyat itu, penerima turut berpeluang menikmati pelbagai insentif tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun, mata ganjaran dan coins daripada penyedia e-dompet pilihan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, semakan di laman web dan aplikasi penyedia e-dompet mendapati antara insentif disediakan termasuk 1,000 mata GoRewards serta baucar bernilai lebih RM500 bagi pelbagai barangan runcit, makanan dan minuman, pembayaran bil dan pengangkutan oleh Touch 'n Go eWallet.

Selain itu, Setel menyediakan pulangan tunai sehingga RM80, e-baucar pelbagai jenama dan mata Mesra untuk transaksi terpilih manakala ShopeePay pula menyediakan baucar sehingga RM600 bagi pembelian, ShopeeFood, SPayLater dan insurans kereta. - Bernama.