Setahun Kerajaan Perpaduan: Jualan, menu Rahmah jenama popular KPDN

Inisiatif Payung Rahmah yang kini meliputi pakej, bakul, jualan dan menu merupakan household bagi KPDN. - Foto hiasan
Inisiatif Payung Rahmah yang kini meliputi pakej, bakul, jualan dan menu merupakan household bagi KPDN. - Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Inisiatif Payung Rahmah menjadi jenama popular Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sepanjang setahun pentadbiran kerajaan Madani, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, inisiatif Payung Rahmah yang kini meliputi pakej, bakul, jualan dan menu merupakan household bagi KPDN dengan yang paling mendapat sambutan ialah jualan dan menu Rahmah.

"Dianggarkan Jualan Rahmah telah memanfaat lebih lima juta pengguna yang biasanya berbaris dan menunggu berjam-jam bagi menikmati diskaun 10 hingga 30 peratus,” katanya ketika ditemu bual secara maya menerusi program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM hari ini.

Menurut Fuziah, kejayaan Jualan Rahmah mendorong KPDN untuk memperkenalkan Jualan Rahmah bergerak melalui inisiatif Kedai Cari Rakyat dengan lori memasuki kawasan B40 termasuk kampung, flat dan Program Perumahan Rakyat (PPR).

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh

Inisiatif Payung Rahmah diperkenalkan pada awal tahun ini oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Julai lepas, bertujuan membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik Covid-19.

Mengimbas semula pengenalan inisiatif itu bersama Allahyarham Salahuddin, Fuziah berkata ketika itu KPDN meletakkan harapan untuk pendekatan berkenaan menjadi penyelesaian jangka pendek masalah kos sara hidup rakyat dan mampu bertahan beberapa bulan.

Beliau berkata inisiatif itu dimulakan dengan peruntukan kecil iaitu RM100 juta dan kemudian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memberikan tambahan RM50 juta dan kesemua RM150 juta itu disalurkan untuk pemberian diskaun kepada pengguna.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai fokus terkini KPDN, Fuziah berkata pihaknya telah bersedia menghadapi situasi banjir menjelang hujung tahun dengan membenarkan pemborong dan peruncit di kawasan tertentu menambah stok barangan keperluan hingga 30 peratus.

Selain itu, persediaan dari segi logistik sudah dilakukan untuk menggerakkan bank makanan KPDN ke kawasan banjir, katanya.

Beliau berkata, menjelang 2024, KPDN akan memberi tumpuan kepada penyasaran subsidi diesel dan minyak masak.

Kata Fuziah, bagi diesel KPDN akan mengenal pasti lori membawa barang keperluan yang layak mendapat kad subsidi diesel supaya barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga ekoran peningkatan kos pengangkutan.

Bagi (penyasaran subsidi) minyak masak pula katanya, KPDN akan mengenal pasti mekanisme untuk membantu pengguna. - Bernama