Kereta 'total loss', Roy Azman syukur anak isteri selamat

Roy reda kereta total lost. Gambar kecil: Roy Azman
Roy reda kereta total lost. Gambar kecil: Roy Azman
A
A
A

PELAKON dan pelawak, Roy Azman meluahkan rasa syukur apabila dia bersama isteri dan anak terselamat walaupun kereta yang mereka naiki hangus terbakar dalam kejadian pada malam Ahad.

Mengimbau semula insiden yang tidak diingini itu, Roy atau nama sebenarnya Zairosminan Abdul Rahman berkata, dia, isteri dan anak bongsu ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menikmati makan malam bersama rakan-rakan di Puncak Alam.

Ujar pelakon Maria Mariana itu, dia tidak menyedari kenderaan tersebut terbakar kerana api bermula daripada bahagian bawah kereta.

"Saya baru sahaja mengambil kereta itu daripada sebuah bengkel di Ampang pada sebelah petang dan kemudian ke Puncak Alam.

"Kemudian dalam perjalanan balik lebih kurang jam 11 malam, ada kereta beberapa kali membunyikan hon dan memberitahu kereta terbakar, tetapi saya tak nampak api," ujarnya.

Tambah Roy, 53, keadaan bertambah cemas apabila brek tidak berfungsi tetapi bernasib baik apabila brek tangan masih boleh digunakan.

"Saya bersyukur kerana brek tangan masih berfungsi, kalau langgar pembahagi jalan, tak tahu nak cakap apa.

"Sebaik berhenti, api terus marak dan saya bersyukur dalam keadaan panik itu, isteri masih sempat tarik anak bongsu keluar dari kereta dan kami terus lari selamatkan diri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Biarpun kereta tersebut 'total loss', Roy meluahkan rasa syukur apabila nyawa mereka tiga beranak dipanjangkan ALLAH SWT dan berterima kasih kepada semua pihak yang bertanya khabar.

"Apa yang penting semua selamat, ALLAH selamatkan dari kejadian yang tidak diingini. Terima kasih yang doakan kami.

"Maaf juga yang telefon, mesej saya tak sempat jawab sebab selesai segala urusan jam 6 pagi dan kemudian terus ke lokasi penggambaran," jelasnya.