Anak Annuar Musa antara yang keluar UMNO

Annuar Musa (kiri), Afiq Amani
Annuar Musa (kiri), Afiq Amani
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Afiq Amani yang juga anak kepada Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa antara yang diumumkan keluar UMNO dan memilih memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu diumumkan Annuar sendiri di kediamannya pada Jumaat.

Bagaimanapun, kedudukan Afiq Amani sama ada menyertai Pas sama seperti bapanya masih belum diketahui.

Hadir sama dalam sidang media khas itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Afiq Amani yang ditemui berkata, mengambil keputusan untuk berehat daripada politik buat sementara waktu, namun akan memberi sokongan kepada PN.

No Image Caption

Beliau berkata, bertanggungjawab dengan keputusan itu dan akan memaklumkan keputusan rasmi kepada pimpinan UMNO secepat mungkin.

Dakwanya, kebelakangan ini perjuangan yang diharapkan dalam UMNO tidak seperti yang disangkakan dan tidak mempertahankan rakan-rakan dalamannya.

"Ini bukan mainan politik kerana saya tidak boleh berlaku adil kepada UMNO jika perjuangan parti itu tidak sehati sejiwa dengan saya dan keputusan ini lebih baik untuk kedua-dua pihak.

"Saya akur dan mengambil tanggungjawab ini. Keputusan juga bukan kerana ayahanda saya dan tiada paksaan untuk saya berehat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang akhbar khas pada Majlis Ramah Mesra Bersama Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang di sini pada Jumaat.

Ujarnya, perjuangan UMNO kini didakwa banyak memberi perhatian kepada DAP.

"Semangat saya sudah hilang dan tidak memilih mana-mana parti politik buat masa ini," ujarnya.

Selain Afiq Amani antara individu lain yang diumumkan keluar UMNO termasuk Ketua Wanita UMNO Ketereh, Sabariah Hamzah yang diumumkan menyertai Pas.

Sementara itu, Annuar dalam sidang media sama turut memaklumkan, UMNO Cawangan Cabang Tiga Haji Musa dibubarkan berikutan beberapa pemimpin utamanya menyertai PN.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut jumlah keseluruhan yang menyertai PN tetapi mahu menyerahkan undian kepada pengundi.

"Saya tidak mahu menyebut jumlah yang menyertai PN tetapi kita akan lihat dalam peti undi pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini," katanya.