Suami lolos, isteri dan rakan bawa 74kg ganja ditahan

Dadah jenis ganja seberat 74kg dirampas dianggarkan bernilai RM229,400.
Dadah jenis ganja seberat 74kg dirampas dianggarkan bernilai RM229,400.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis menahan dua suspek bersama dadah jenis ganja seberat 74 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM229,400 di Kuala Krai, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, lelaki dan wanita berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta yang datang dari arah Kota Bharu menuju Gua Musang.

Beliau berkata terdahulu, anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai telah mengesan kereta Proton Wira dinaiki tiga individu dalam keadaan mencurigakan di Telekong kira-kira jam 11.35 pagi.

"Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, suspek telah bertindak memecut untuk melarikan diri sebelum berjaya ditahan di tepi jalan di Bukit Sireh.



"Seorang suspek lelaki dan wanita berjaya ditahan, namun suspek ketiga seorang lelaki meloloskan diri ke arah semak berdekatan.

"Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu menemukan lima kotak yang di dalamnya mengandungi bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 74 kg yang dianggarkan bernilai RM229,400," katanya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.

Kereta Proton Wira yang dinaiki suspek.
Kereta Proton Wira yang dinaiki suspek.

Kamarulzaman berkata, suspek yang berjaya melarikan diri merupakan suami kepada wanita yang ditahan itu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil soal siasat awal terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku bekerjasama menghantar bekalan dadah terbabit.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan suspek perempuan negatif dadah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Pihak Polis IPD Kuala Krai memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai melalui talian 09-9666222," katanya. - Bernama