Penoreh didenda RM12,000 simpan burung murai batu

Ahmad (kiri) didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah menyimpan burung murai batu dan daging kijang serta rusa sambar di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
Ahmad (kiri) didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah menyimpan burung murai batu dan daging kijang serta rusa sambar di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang penoreh getah didenda RM12,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Isnin atas tiga pertuduhan menyimpan spesies hidupan liar yang dilindungi, tiga tahun lalu.

Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu kepada tertuduh, Ahmad Yahaya, 37, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyimpan seekor burung murai batu (copsychus malabaricus) manakala pertuduhan kedua dan ketiga pula dia didakwa menyimpan daging kijang (muntiacus muntjak) dan daging rusa sambar (rusa unicolor).

Kesemua haiwan berkenaan merupakan hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa kebenaran.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sira Panas, Bersia Lama di Gerik sekitar jam 7 petang pada 25 Mei 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 60(1)(a) dan Seksyen 60(1)(b) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum diberikan berikutan mempunyai tanggungan dan hanya bekerja sebagai penoreh getah.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Nor Hani Abdul Samat bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kepentingan awam dan menjadi pengajaran kepada tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memohon agar hidupan liar yang disita itu dilucuthakkan kepada Perhilitan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara tiga bulan dikenakan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.