Bangunan simpan baja, racun di Kuala Kangsar terbakar

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

IPOH - Sebuah bangunan tiga tingkat milik Pertubuhan Peladang yang menyimpan baja dan racun pertanian di Jalan Bendahara, Kuala Kangsar terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata tingkat bawah bangunan mengalami kebakaran kira-kira 30 peratus.

"Kerja-kerja pemadaman masih dijalankan dan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) juga sedang membuat bacaan kerana bahan baja dan racun rumpai bertindak balas dengan haba mungkin mengeluarkan toksid,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ahmad Izuwan berkata, proses overhaul sedang dilaksanakan oleh pasukan bomba, manakala Hazmat dari BBP Pasir Putih digerakkan ke lokasi sebagai langkah keselamatan kerana kebakaran melibatkan bahan kimia.

Beliau berkata, bacaan indeks udara sedang dikumpul dan pengungsian bagi orang awam juga dilakukan pada jarak 100 meter.

Terdahulu, pasukan bomba dari BBP Kuala Kangsar dengan bantuan dari BBP Sungai Siput dan BBP Meru Raya bergegas ke tempat kejadian bagi melakukan tugas pemadaman bangunan jenis kelas A berkeluasan 40 x 70 meter persegi itu.

Terdapat sedikit letupan di peringkat awal kebakaran kerana dipercayai akibat bahan-bahan pertanian seperti baja dan racun yang tersimpan di premis berkenaan dan kejadian juga tidak melibatkan mangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!