Peniaga rugi RM600, tayar kereta kena toreh

Hasil rakaman CCTV memaparkan kereta Viva yang digunakan suspek dalam kejadian terbabit. (Kesan toreh pada tayar yang ditemui pada SUV terbabit. - Foto Ihsan orang awam)
Hasil rakaman CCTV memaparkan kereta Viva yang digunakan suspek dalam kejadian terbabit. (Kesan toreh pada tayar yang ditemui pada SUV terbabit. - Foto Ihsan orang awam)
A
A
A

BERA - Seorang peniaga wanita mengalami kerugian kira-kira RM600 akibat perbuatan khianat selepas dua tayar kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Yaris pancit dan ditoreh di kawasan tempat letak kenderaan di sebuah pasar raya dekat Triang pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa hanya menyedari kejadian itu selepas selesai membeli barangan keperluan kedai makan miliknya.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa menyedari dua tayar kenderaannya itu pancit pada bahagian kanan depan dan belakang selain terdapat kesan torehan pada tepi tayar dipercayai menggunakan objek tajam.

Menurutnya, mangsa mengesahkan bahawa dia tidak mempunyai musuh dengan sesiapa dan tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak pinjaman wang selain daripada bank.

"SUV tersebut didaftarkan atas nama suaminya dan ia digunakan secara bersama oleh pengadu dan suami.

"Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan khianat ke atas tayar kenderaan tersebut dengan cara mencucuk menggunakan objek tajam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini tular rakaman CCTV memaparkan suspek menaiki kereta jenis Perodua Viva sedang melakukan perbuatan khianat pada beberapa kenderaan di tempat letak kenderaan terbabit.

Tambah Zulkiflee, selain mangsa, dua lagi laporan polis diterima pihaknya membabitkan kejadian dan lokasi sama dan satu lagi di sebuah lokasi berlainan di kawasan dobi di Triang Sentral pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Kita sedang cuba mengesan suspek yang menaiki kereta Viva dipercayai melakukan perbuatan khianat tersebut.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasar raya terbabit tidak jelas dan sedang mencuba mendapatkan rakaman CCTV di premis lain," ujarnya.

Jelas Zulkiflee, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK).