Penganggur ditahan kes khianat toreh tayar kereta

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Zulkiflee
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil: Zulkiflee
A
A
A

BERA - Seorang penganggur ditahan pada Selasa selepas dipercayai terlibat dengan empat kes khianat kenderaan yang berlaku di Triang Sentral, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir memberitahu, dalam operasi jam 7.40 petang itu, suspek lelaki berusia 34 tahun itu diberkas di Pusat Perniagaan Bahau, Negeri Sembilan.

Menurutnya, polis turut merampas sebilah gunting berukuran kira-kira 15 sentimeter dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah khianat pada kenderaan.

"Hasil semakan mendapati suspek yang masih bujang itu juga mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, seorang peniaga wanita kerugian kira-kira RM600 akibat perbuatan khianat selepas dua tayar kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Yaris pancit dan ditoreh di sebuah tempat letak kenderaan pasar raya di sini pada Sabtu.

Turut tular rakaman CCTV memaparkan suspek menaiki kereta jenis Perodua Viva sedang melakukan perbuatan khianat tersebut pada beberapa kenderaan di tempat letak kenderaan terbabit.

Selain peniaga terbabit, dua lagi laporan polis membabitkan kejadian dan lokasi sama dan satu lagi di sebuah lokasi berlainan di kawasan dobi di Triang Sentral pada hari sama.

Artikel Berkaitan: