Asal pilihan raya mesti ada kes 3R

Sangat mendukacitakan apabila kempen pilihan raya sering kali dicemari dengan isu 3R dan dilihat seperti diambil remeh oleh orang politik.
Sangat mendukacitakan apabila kempen pilihan raya sering kali dicemari dengan isu 3R dan dilihat seperti diambil remeh oleh orang politik.
A
A
A

ISU membabitkan 3R (institusi raja, agama dan kaum) sekali lagi dilaporkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di Terengganu baru-baru ini.

Kali ini, siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijalankan terhadap beberapa pemimpin politik berikutan ceramah perdana semasa berkempen di negeri itu.

Antaranya terdapat pemimpin yang mengeluarkan 'fatwa' harus untuk ahli UMNO meninggalkan parti itu dan mereka yang berbuat demikian boleh mendapat ganjaran pahala hijrah seperti zaman Rasulullah SAW.

Sangat mendukacitakan apabila kempen pilihan raya sering kali dicemari dengan isu 3R dan dilihat seperti diambil remeh oleh orang politik.

Rentetan daripada itu, ia mengesahkan kenyataan Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Zulkarnain Mohd Yasin sebelum ini yang berkata bahawa isu 3R sering berlaku semasa pilihan raya.

Pihak polis juga memandang serius mengenai isu tersebut apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan pihaknya melaksanakan pemantauan terhadap kenyataan atau ucapan yang dikeluarkan oleh orang politik menerusi kempen secara maya atau sebarang program.

Namun ketegasan pihak polis masih dipandang enteng apabila setiap kali kempen pilihan raya berlangsung, ada sahaja pihak yang 'terlepas' kata tanpa menghiraukan kesannya.

Kerajaan juga perlu mencari jalan terbaik dan langkah lebih tegas supaya tiada mana-mana pihak sewenang-wenangnya menjadikan isu 3R sebagai modal kempen pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

Semua masyarakat atau mana-mana pihak juga diingatkan agar mengambil iktibar dengan kes-kes lalu dan hukuman yang dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

Antara pemimpin politik yang pernah disiasat babit isu 3R ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Siasatan kes 3R ini dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Oleh itu, pada kempen yang akan datang, setiap parti politik dan pemimpin mereka perlu lebih berhemah supaya keharmonian dalam negara akan terus terpelihara sampai bila-bila.