Filem animasi 'Lost at sea' papar nasib perit etnik Rohingya

'Lost at sea' memaparkan realiti sebenar yang dihadapi etnik Rohingnya ketika mereka berusaha mencari perlindungan.
'Lost at sea' memaparkan realiti sebenar yang dihadapi etnik Rohingnya ketika mereka berusaha mencari perlindungan.
A
A
A

SEBUAH filem animasi pendek terbitan Médecins Sans Frontières (MSF) bersama Doctors Without Borders yang berjudul 'Lost at sea' dilancarkan baru-baru ini.

Filem ini memaparkan realiti sebenar yang dihadapi oleh etnik Rohingya ketika mereka berusaha mencari perlindungan di Malaysia.

Ia mengisahkan seorang lelaki Rohingya yang dikenali sebagai Muhib, terkandas lebih dua minggu di atas bot nelayan ketika berada di Laut Andaman.

Sepanjang tempoh itu, dia menyaksikan 27 orang maut ketika perjalanan ke Malaysia.

“Saya takut untuk terus hidup dan tinggal di Myanmar dan terpaksa mencari kawasan perlindungan di negara lain.

Antara sedutan daripada filem animasi pendek 'Lost at sea'.
Antara sedutan daripada filem animasi pendek 'Lost at sea'.

"Ketidakpastian menyebabkan saya mencari tanah baharu untuk berlindung, malah saya fikir lebih baik saya terkorban di tempat lain, kerana saya tidak pernah dilayan sebagai manusia sejak saya lahir," katanya menerusi penceritaan di dalam filem tersebut.

Video berdurasi lima minit enam saat itu kini boleh ditonton di laman YouTube atau boleh layari https://doctorswithoutborders-apac.org/my/mengingati-rohingya.

Artikel Berkaitan:

Nasib Rohingya ditambah dengan penafian hak kewarganegaraan Myanmar, menyebabkan mereka tiada kerakyatan yang sah dari negara tersebut.

Salah satu implikasi tiada kerakyatan membuatkan mereka tiada pengenalan diri, pasport dan tiada cara yang sah untuk menyeberangi sempadan antarabangsa.

Lebih memburukkan keadaan, tiada laluan undang-undang yang selamat untuk mereka mendapatkan suaka di rantau ini, selain terpaksa melakukan perjalanan yang berisiko.

Pengarah MSF, Paul Brockman berkata, etnik itu terpaksa melarikan diri dari Myanmar kerana mahu berjuang untuk terus hidup.

Paul Brockman
Paul Brockman

"Di sana mereka tidak mendapat peluang pekerjaan atau pendidikan, dan dilihat tiada harapan untuk masa depan yang lebih baik.

“Dengan tahap keganasan yang ketara di kem Bangladesh dan konflik berterusan di Myanmar, keadaan memaksa mereka membuat pilihan yang semakin terdesak seperti membuat perjalanan laut yang penuh berisiko (bagi mencari perlindungan)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Antara sedutan daripada filem animasi pendek 'Lost at sea'.
Antara sedutan daripada filem animasi pendek 'Lost at sea'.

Beliau menambah bahawa etnik Rohingya juga tidak mempunyai tempat untuk pergi dan mereka tidak memperoleh hak asasi di mana-mana kawasan di rantau ini.

“Adalah penting Malaysia dan masyarakat antarabangsa mengiktiraf apa yang dikatakan sebagai satu krisis pelarian Rohingya dan berusaha ke arah penyelesaian bagi menghormati hak dan maruah mereka, di tempat mereka berada sekarang sehinggalah mereka akhirnya boleh kembali ke Myanmar.

"Orang Rohingya berhak hidup dalam keadaan selamat, dengan akses kepada perkhidmatan dan peluang-peluang pekerjaan," katanya.