PN Bukit Gantang cabar Syed Abu Hussin jumpa pengundi

Ahmad (duduk, dua dari kanan) bersama pimpinan PN Bahagian Bukit Gantang memberi tempoh tujuh hari kepada Syed Abu Hussin untuk bertemu dengan pengundi di kawasan, Ahad depan.
Ahmad (duduk, dua dari kanan) bersama pimpinan PN Bahagian Bukit Gantang memberi tempoh tujuh hari kepada Syed Abu Hussin untuk bertemu dengan pengundi di kawasan, Ahad depan.
A
A
A

TAIPING - Perikatan Nasional (PN) Bahagian Bukit Gantang memberi tempoh selama tujuh hari kepada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk bersemuka dengan rakyat berhubung sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Pengerusinya, Ahmad Man berkata, tempoh tersebut diberikan kepada Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berikutan kesediaan beliau untuk melepaskan jawatan mengikut kehendak pengundi di kawasannya.

Pimpinan PN Bahagian Bukit Gantang mendesak Syed Abu Hussin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen susulan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pimpinan PN Bahagian Bukit Gantang mendesak Syed Abu Hussin meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen susulan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Beliau ada menyatakan kepada media akan mempertimbangkan untuk letak jawatan jika ada kain rentang dan lain-lain medium yang menunjukkan pengundi mahu beliau berbuat demikian.

"Bukan setakat pasang kain rentang, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kawasan akan gembleng tenaga bawa ribuan penyokong yang bersetuju mahu beliau melepaskan jawatan.

"Kita sahut cabaran itu dan mencadangkan lokasi pertemuan diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Bukit Gantang sekitar jam 3 petang, Ahad depan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang di sini pada Ahad.

Menurut Ahmad, cabaran yang dikemukakan Syed Abu Hussin itu menunjukkan seolah-oleh rakyat mengundi atas tiket dirinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Kenyataan beliau yang menolak saranan Bersatu untuk meletakkan jawatan kerana bukan kehendak pengundi adalah sangat melucukan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau melihat senario pilihan raya lalu, PN menang di kawasan Parit Buntar, Bagan Serai, Larut dan Kuala Kangsar kerana gelombang anak muda untuk pilih parti PN dan bukannya individu. Kalau beliau bertanding Bebas, saya jamin beliau akan hilang deposit," katanya.

ADUN Kuala Sepetang itu mendakwa, alasan pembangunan dan kemajuan pengundi sebagai galang ganti terhadap sokongan tersebut hanyalah untuk mengaburi mata rakyat.

"Jika semua wakil rakyat menggunakan ideologi Syed Abu Hussin ini, sistem pentadbiran kerajaan akan hilang proses semak dan imbang.

"Cukuplah berselindung atas nama rakyat kerana keputusan memberi sokongan kepada Anwar adalah keputusan sebagai ahli Parlimen, jangan jual nama rakyat untuk kepentingan peribadi," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Pas Kawasan Bukit Gantang, Rahim Ismail berkata, Pas mendesak ahli Bersatu itu meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen kerana melanggar kepercayaan dan mandat yang diberikan pengundi.

"Sepanjang PRU15, jentera PN memberi sokongan dan bermati-matian bekerja memenangkan PN. Tindakan Syed Abu Hussin ini bertentangan dengan sikap orang yang mengenang jasa dan berprinsip.

"Alasan yang diberikan itu amat daif dan dangkal sedangkan menjadi kewajipan kerajaan memerintah menyediakan perkhidmatan serta kemudahan kepada rakyat," kata ADUN Changkat Jering itu.

Pada Selasa, Syed Abu Hussin menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Beliau sebelum ini pernah menyatakan pendirian akan menyokong kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu sekiranya peruntukan disalurkan ke kawasannya.

Untuk rekod, Syed Abu Hussin memohon peruntukan sebanyak RM30 juta melibatkan kerja penyelenggaraan Tabika Kemas berjumlah RM1.05 juta, pembangunan ekonomi komuniti (RM90,000) dan kemudahan ameniti sosial (RM3 juta).

Selain itu, peruntukan pemasangan lampu jalan kampung dan lingkaran jalan luar bandar serta pembangunan desa di kawasan Parlimen yang mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lima mukim yang meliputi sebanyak RM16 juta.