Bersatu cabar MP Bukit Gantang lepas jawatan jika anak jantan

Razali Idris
Razali Idris
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk melepaskan jawatan susulan tindakan menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkata, wakil rakyat yang tidak berprinsip dengan mengkhianati pimpinan atau rakyat perlu dihukum dan disingkirkan mengikut perlembagaan parti serta undang-undang negara.

“Sekali lagi saya mencabar Ahli Parlimen Bukit Gantang, sekiranya anak jantan beliau perlu melepaskan jawatan tanpa berselindung di sebalik Akta Lompat Parti dan kembalikan mandat pada rakyat untuk diadakan pilihan raya kecil seberapa segera.

“Saya juga amat bersetuju dengan Ketua Bahagian Bukit Gantang, Ahmad Man yang mendesak Syed Abu Hussin melepaskan jawatan sebagai ahli Parlimen jika benar tindakan beliau untuk membela nasib rakyat dalam Parlimen Bukit Gantang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Syed Abu Hussin ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa, mengumumkan sokongan kepada Anwar dan menjadi ahli pembangkang yang kelima daripada Bersatu berbuat demikian.

Empat yang lain ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Tambah Razali, Bersatu turut memandang serius kenyataan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang mengaitkan perubahan sokongan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu adalah bagi menjaga kepentingan peribadi dan keluarga yang terlibat dalam perniagaan serta dakwaan jenayah.

“Nampaknya usaha-usaha berterusan mengugut dan menawarkan sogokan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang terus dilakukan secara terancang.

Artikel Berkaitan:

“Sehingga kini tiada kenyataan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas laporan polis yang telah dibuat.

“Bagi menyiasat sama ada wujud penyalahgunaan kuasa dan rasuah sehingga mendorong secara ‘paksa’ beberapa orang ahli parlimen membuat kenyataan menyokong Perdana Menteri,” ujarnya.