Kekangan bajet, isu kontraktor punca lewat baik pulih Masjid Kristal

Masjid Kristal ditutup sementara untuk dibaikpulih.
Masjid Kristal ditutup sementara untuk dibaikpulih.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerja- kerja membaikpulih kerosakan Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam di sini masih belum selesai disebabkan kekangan bajet dan perlu dilaksanakan oleh kontraktor yang berpengalaman.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, Masjid Kristal yang ditutup sejak dua tahun lalu kerana kubahnya rosak dan bocor memerlukan kos baik pulih sebanyak RM2 juta.

Menurutnya, kos baik pulih tinggi menyebabkan kontraktor diberi tugas tersebut ditukar sebanyak tiga kali.

“Kerja baik pulih dimulakan awal tahun sepatutnya siap September lalu tapi tidak selesai kerana kekangan bajet. Baiki sikit-sikit tidak selesaikan masalah kerana masjid ini bukan masjid biasa.

"Kerosakan kubah agak teknikal yang mana strukturnya perlu dicabut dan digam semula. Jadi kita perlu dapatkan kontraktor asal atau kontraktor berpengalaman untuk baik pulih kerosakan,” katanya hari ini.

Menurut Ariffin, kerajaan negeri sudah mengenalpasti kontraktor berkenaan dan sedang berusaha mendapatkan bantuan dari syarikat multinasional untuk menyelesaikan masalah itu.

Beliau turut berharap usaha itu berjaya bagi memastikan masjid unik yang dibangunkan dengan kos RM22 juta di Taman Tamadun Islam dapat dibuka semula kepada pengunjung.

"Kita harap ianya positif dan dapat diselesaikan dengan segera," katanya yang menjelaskan penutupan itu juga bagi menjamin keselamatan pengunjung berikutan kubah masjid sedang dibaikpulih.

Artikel Berkaitan: