Hanya MB boleh selamat kawasan hijau Bukit Jelutong - Mat Taib

Tan Sri Muhammad Muhd Taib
Tan Sri Muhammad Muhd Taib
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib memberi bayangan hanya Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dapat menyelamatkan kawasan hijau di Bukit Jelutong.

Beliau berkata, penduduk Bukit Jelutong sehubungan itu mendesak kerajaan negeri agar melihat semula cadangan untuk membina rumah di kawasan hijau seluas 69 ekar di tapak berkenaan.

"Janganlah benarkan kawasan hijau ini dimusnahkan dengan membina lebih 400 buah rumah di kawasan anak-anak muda bermain dan orang dewasa beriadah.

"Kekalkanlah kawasan hijau ini sebagai kawasan riadah atau 'recreational park' di Bukit Jelutong," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, kawasan hijau indah dan nyaman berhadapan Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong itu telah ditukar syarat dari kawasan hijau iaitu kawasan padang golf kepada perumahan.

"Bila kita tanya mengapa nak hapuskan kawasan hijau yg telah lama diwujudkan di Bukit Jelutong maka kita dimaklumkan bahawa kawasan ini akan lebih kehijauan setelah dibina lebih 400 rumah.

"Jawapan ini pelik tapi inilah jawapan dari orang pandai yang menguruskan Bukit Jelutong. Sebenarnya Bukit Jelutong tidak ada kawasan awam untuk rekreasi.

"Semua kawasan lapang yang sepatutnya disediakan untuk masyarakat diambil dan dinafi kepada masyarakat," ujar bekas Menteri Besar itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Beliau menambah, kawasan hijau digunakan sekarang adalah padang golf dan kawasan itu sahaja tinggal untuk kanak-kanak dan anak-anak muda bermain sama ada bola atau dijadikan kawasan lapang.

"Inilah kawasan yang dipertikaikan oleh penduduk sekarang. Masyarakat bertanya mengapa kawasan hijau ini hendak dihapuskan dan digantikan dengan lebih 400 buah rumah," soalnya.