Polis nasihat orang ramai tak sertai himpunan di Bukit Jelutong

Mohd Iqbal - Foto Bernama
Mohd Iqbal - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Polis meminta penganjur dan peserta untuk tidak meneruskan himpunan lindung padang hijau yang akan dilakukan di Jalan Bazar U8/101, Seksyen U8, Bukit Jelutong, di sini pada 18 November.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, perhimpunan aman itu akan dibuat oleh Persatuan Penduduk Taman Bukit Jelutong bagi melindungi padang hijau terakhir di Bukit Jelutong yang akan ditebang untuk memberi ruang kepada pembangunan perumahan.

Katanya, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam memandang serius perkara tersebut dan tidak menggalakkan perhimpunan berkenaan diadakan.

"Dinasihatkan kepada semua warga Shah Alam, terutama yang berada di sekitar Bukit Jelutong supaya tidak menyertai perhimpunan terbabit.

"Ini bagi mengelakkan berlakunya kesusahan yang signifikan kepada orang ramai berikutan kawasan berkenaan tidak mempunyai tempat meletak kenderaan yang boleh menyebabkan kesesakan lalu lintas, boleh mengakibatkan kerosakan terhadap kemudahan awam dan landskap," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, penganjur juga telah dimaklumkan untuk tidak meneruskan perhimpunan itu.

Jelasnya, kerjasama daripada semua pihak amatlah diharapkan bagi menjamin kesejahteraan bersama.

Artikel Berkaitan: