Tiada lesen memandu, warga asing cuba sogok polis RM350

Ahmad Ridhwan
Ahmad Ridhwan
A
A
A

KUALA LANGAT - Seorang lelaki warga asing yang cuba menyogok anggota polis kerana kesalahan tiada lesen memandu hanya menjerat diri apabila dia ditahan di Telok Panglima Garang di sini pada 26 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 8.30 malam oleh anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat yang sedang melakukan rondaan.

Menurutnya, suspek lelaki yang memandu kereta itu ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

"Semasa anggota polis hendak mengambil tindakan saman, suspek telah menawarkan wang suapan sebanyak RM350 agar tidak dikenakan tindakan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, suspek yang bekerja di premis aksesori kenderaan itu telah ditahan untuk tindakan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan gejala memberi suapan kepada penjawat awam.

"Kita tidak berkompromi dengan mana-mana individu serta akan mengambil tindakan sewajarnya," ujarnya.

Artikel Berkaitan: