Lambakan peniaga warga asing, salah siapa?

Penguat kuasa DBKL menutup premis dikendalikan warga asing dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah pasar raya baru-baru ini.
Penguat kuasa DBKL menutup premis dikendalikan warga asing dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah pasar raya baru-baru ini.
A
A
A

MASALAH lambakan warga asing yang memonopoli perniagaan di beberapa tempat terutamanya di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor sering kali dilaporkan di media-media dan dilihat bagaikan tiada kesudahan.

Sebahagian besar perniagaan yang dimonopoli warga asing ialah kedai runcit, pasar malam awam dan rumah-rumah kedai.

Lambakan warga ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat tempatan sehinggakan ada yang terpaksa berpindah dari kawasan tersebut kerana risau keselamatan diri akan terancam.

Selain mengenai keselamatan diri, kawasan yang menjadi ‘kampung’ warga asing berkenaan menjadi suram, kotor dan berbau sehinggakan penduduk setempat berasa terganggu dengan keadaan itu.

Timbul persoalan, siapa yang sebenarnya salah dan patut dipersalahkan dalam hal ini?

Hal ini kerana, masalah tersebut sudah memasuki satu dekad tetapi masih tiada jalan penyelesaian untuk membanteras masalah tersebut iaitu mereka semakin menguasai perniagaan tempatan.

Terbaharu, pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu lambakan tersebut.

Kerjasama berkenaan diperlukan kerana sebarang penahanan warga asing atau pendatang tanpa izin (PATI) adalah di bawah bidang kuasa dan pengurusan jabatan itu.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk turun padang sebagai usaha mengekang penularan masalah perniagaan secara haram oleh warga asing.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut melaksanakan penguatkuasaan sitaan barangan terhadap golongan ini.

Bagaimanapun, isu tersebut dilihat tidak pernah berhenti diperkatakan, malah jumlah golongan tersebut yang memonopoli sesuatu kawasan semakin bertambah dari masa ke masa.

Usaha yang dilakukan agensi penguatkuasaan berkenaan dilihat gagal mematahkan usaha menghalau penjaja warga asing terutamanya yang terdiri daripada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNCHR).

Malah, penduduk tempatan turut mempersoalkan dan hairan dengan jabatan mana yang meluluskan atau membenarkan golongan itu menjalankan perniagaan.

Namun, menurut laporan media, PBT mendakwa tidak pernah membenarkan mana-mana warga asing untuk memohon atau memiliki lesen perniagaan kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan pasar selaras dengan Undang-Undang Kecil (UUK) penjaja.

Peniaga warga asing ini dipercayai menggunakan lesen orang tempatan selain sanggup menyewa premis perniagaan dengan kadar yang tinggi sehingga RM10,000 sebulan. Kadar sewa tinggi ini menyebabkan pemilik premis tanpa rasa bersalah bersedia menyewakan premis mereka kepada warga asing.

Dalam masa sama, peniaga tempatan turut mengatakan keuntungan perniagaan mereka semakin berkurang selepas kehadiran peniaga warga asing ini.

Justeru, kerjasama rapat daripada semua pihak amat diperlukan dan bukan mengharapkan agensi penguatkuasaan semata-mata kerana pelbagai usaha telah dilakukan untuk membanteras isu ini.

Walaupun penyitaan, penguatkuasaan dan segala bentuk pemantauan dilaksanakan pihak berkuasa, masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak menyewakan lesen dan premis perniagaan kepada peniaga warga asing.

Ini kerana hal ini melibatkan isu keselamatan penduduk setempat, kebersihan persekitaran dan menjaga kebajikan rakyat.

Dalam penguatkuasaan berterusan semua agensi berkaitan selain kerjasama pemegang lesen dan pemilik premis, isu peniaga asing ini mampu dibanteras.

*Siti Aisyah Mohamad ialah wartawan Sinar Harian