Tengku Permaisuri Selangor berangkat hadiri World #QuranConvention

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat reruai disediakan di pekarangan konvensyen disambut mesra oleh Hussamuddin yang turut memberikan penjelasan mengenai lembaran naskah al-Quran terbitan Karya Bestari. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat reruai disediakan di pekarangan konvensyen disambut mesra oleh Hussamuddin yang turut memberikan penjelasan mengenai lembaran naskah al-Quran terbitan Karya Bestari. - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

SEPANG - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berangkat menghadiri The World #QuranConvention 4.0 di sini hari ini.

Program anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Institut Bayyinah itu berlangsung di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA di sini.

Keberangkatan tiba baginda pada 9.15 pagi itu disambut pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff.

Tengku Permaisuri Norashikin yang meluangkan masa hampir dua jam telah melawat reruai yang disediakan dan selain mengikuti diskusi panel bertajuk ‘Belajar al-Quran: Semalam, Hari ini dan Esok’.

Antara antara panel speaker pada diskusi tersebut ialah Pengarah World #Quran Convention, Ustad Nouman Ali Khan; Pengasas Ibn 'Ashur Centre, Dr Sohaib Saeed; DPhil Scholar, The Centre for Muslim-Christian Studies, University of Oxford Saqib Hussain; dan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Amanie, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar.

Dengan bertemakan Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah al-Insaan, program sehari itu memfokuskan kepada kepentingan berkhidmat kepada ummah berasaskan ajaran al-Quran dan mengaplikasikannya dalam kehidupan diri, keluarga, organisasi dan negara itu, disertai lebih 1,800 peserta.

Konvensyen itu yang juga di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), merupakan satu inisiatif bagi menggalakkan umat Islam untuk membaca, memahami dan melaksanakan ajaran al-Quran, dalam membentuk pemikiran dan budi pekerti mereka berdasarkan al-Quran dan Hadis.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapannya perasmiannya berkata, konsep Malaysia Madani adalah berpaksikan kepada ajaran yang terdapat dalam Surah al-Insaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Malaysia Madani yang juga merupakan satu polisi ‘berkhidmat kepada rakyat’ mempromosikan keharmonian negara, memberikan layanan adil, perkongsian kekayaan dan pentadbiran yang penuh belas kasihan.

"Malaysia Madani mewujudkan model tadbir urus yang berpaksikan 'al-Insaan’, iaitu kemanusiaan - yang memenuhi keperluan keadilan melalui prinsip dan moral yang menggalakkan persefahaman, belas kasihan, penghargaan, saling hormat-menghormati, dan kasih sayang antara satu sama lain,” katanya. - Bernama