Data ekonomi AS tentukan kedudukan ringgit minggu depan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PASARAN pertukaran asing dijangka kekal berhati-hati minggu depan dengan tumpuan utama terhadap data utama seperti laporan Penyata Gaji Bukan Ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) dan kadar pengangguran yang akan menjadi kritikal bagi prestasi ringgit-dolar AS.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran akan memantau dengan teliti prestasi statistik ini ketika ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menghadiri mesyuarat terakhir untuk tahun 2023 pada 12 hingga 13 Disember depan.

"Sehubungan itu, ringgit berkemungkinan didagangkan sekitar RM4.67 hingga RM4.68 berbanding dolar AS minggu depan kerana peserta akan kekal berhati-hati sebelum mesyuarat FOMC.

"Unjuran ekonomi suku tahunan dalam kalangan kakitangan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan dipantau rapi untuk mesyuarat FOMC akan datang terutamanya pada ramalan Kadar Dana Fed AS untuk 2024,” katanya.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank berkata, walaupun ketiadaan pemangkin makro, ringgit mengatasi prestasi Asean-5 berbanding dolar US pada asas Khamis ke Khamis.

"Ini mungkin disebabkan oleh asas negara yang kukuh dan desakan berterusan kerajaan ke arah penyatuan fiskal.

"Kebanyakan mata wang pasaran baharu muncul meningkat berbanding dolar AS disebabkan oleh kerapuhan yang semakin meningkat dalam pasaran perumahan AS dan jangkaan oleh Fed.

"Bagaimanapun, aktiviti pengambilan untung dan bacaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS yang lebih baik telah mengehadkan kenaikan ringgit.

Artikel Berkaitan:

Untuk minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur selepas minit mesyuarat terakhir Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS menunjukkan bahawa bank pusat Amerika akan kekal berhati-hati dalam pendekatannya terhadap dasar monetari.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, nilai ringgit menyusut berbanding dolar AS kepada 4.6710/6760 daripada 4.6830/6875 seminggu sebelumnya.

Unit tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 5.0900/0954 daripada 5.1059/1108 minggu lepas, rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1591/1627 daripada 3.1295/1327 dan merosot berbanding pound Britain kepada 5.9168/9231 daripada 5.8767/8823 seminggu sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN yang lain.

Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.4973/5016 daripada 3.4903/4940 minggu lepas dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/302.1 daripada 300.8/301.3 dan menguncup berbanding baht Thai kepada 13.3301/3505 daripada 13.1949/2139 ketika ditutup minggu lepas.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.45/8.46. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!