'Gaji graduan turut diberi perhatian dalam mesyuarat minggu depan'

Anwar menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Mesyuarat pertama bagi mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam minggu depan akan turut merangkumi perbincangan mengenai gaji graduan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah menetapkan bahawa satu jawatankuasa akan bermesyuarat bagi membincangkan penyelarasan gaji minggu depan, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Semua perkara ini kita akan ambil kira. Umumnya, kadar upah dan gaji penjawat awam rendah, termasuk polis dan tentera, serta tentera yang tidak berpencen. Insya-ALLAH dengan keupayaan ekonomi, kita akan naikkan secara berperingkat.

"Secara tradisinya, jawatankuasa ini sepatutnya bermesyuarat 10 tahun sekali, tapi sekarang dah 12 tahun jawatankuasa ini tidak bermesyuarat," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas ditanya pandangan beliau berkenaan gaji graduan yang kini dianggap merosot ke paras gaji minimum.

Beliau ditemui selepas memberi ucapan perasmian di Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di sini pada Sabtu. - Bernama

AKAN MENYUSUL

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!