'Gaji graduan turut diberi perhatian dalam mesyuarat minggu depan'

Anwar menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 pada Sabtu. - Foto Bernama
Anwar menjawab pertanyaan media selepas Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat pertama bagi mengkaji keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam minggu depan akan turut merangkumi perbincangan mengenai gaji graduan, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah menetapkan bahawa satu jawatankuasa akan bermesyuarat bagi membincangkan penyelarasan gaji minggu depan, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

"Semua perkara ini kita akan ambil kira. Umumnya, kadar upah dan gaji penjawat awam rendah, termasuk polis dan tentera, serta tentera yang tidak berpencen. Insya-ALLAH dengan keupayaan ekonomi, kita akan naikkan secara berperingkat.

"Secara tradisinya, jawatankuasa ini sepatutnya bermesyuarat 10 tahun sekali, tapi sekarang dah 12 tahun jawatankuasa ini tidak bermesyuarat," katanya kepada pemberita di sini hari ini selepas ditanya pandangan beliau berkenaan gaji graduan yang kini dianggap merosot ke paras gaji minimum.

Beliau ditemui selepas memberi ucapan perasmian di Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke-16 di sini pada Sabtu.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu, Anwar berkata, kemajuan ekonomi negara dianggap tempang jika tidak mengambil kira keterangkuman masyarakat terutamanya mereka yang terpinggir.

"Sementara kita akui bahawa negara harus dipacu dengan mengambil kira kepentingan meritokrasi, tapi kita tidak boleh mengetepikan masyarakat yang tidak berkeupayaan untuk bersaing dalam keadaan adil," katanya.

Dalam memberi contoh, katanya beliau merupakan antara kepimpinan di Asean yang awal mengusulkan agar Vietnam diterima sebagai sebahagian dari keluarga Asean melalui satu laporan kecil dan bebas (bukan mewakili kerajaan), One Southeast Asia, dan menggesa anggota Asean agar tidak tunduk kepada Amerika Syarikat yang pada ketika itu sangat meminggirkan Vietnam.

Tambahnya, sebaik beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1990-an, Anwar membawa satu delegasi perwakilan yang besar ke Vietnam untuk berbincang bersama mereka dan negara jiran itu membuka ruang kepada Malaysia untuk menubuhkan operasi perbankan di sana.

"Apabila saya berkunjung semula ke Vietnam bulan lepas, saya melihat pertumbuhan angka dan perubahan yang berlaku di sana jauh lebih baik dari kita dari segi perlaburan, kesenjangan, kadar kemiskinan. Dalam semua ukuran, mereka telah jauh tinggalkan kita," katanya.

Selain itu, beliau turut meminta semua kementerian untuk tidak bekerja secara silo dan memanfaat kepakaran yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan universiti negara agar satu sinergi boleh diwujudkan antara semua pihak berkenaan.

Beliau mengambil contoh bagaimana sinergi antara kerajaan dan kepakaran di universiti begitu aktif dilakukan dan menguntungkan negara China, sedangkan Malaysia masih lagi terikat dengan pendekatan lama.

"Jadi saya minta laporan terperinci supaya universiti berikan bidang-bidang tenaga akademik dan penyelidik untuk kita sesuaikan di jabatan atau kementerian mana, supaya ada sinergi dan dapat dimanfaatkan (oleh kerajaan).

"Andaiannya jika ini dapat dilakukan dalam tempoh segera, kita boleh pacu ekonomi dan mencapai pertumbuhan enam peratus dalam masa singkat selain pelaburan negara juga boleh bertambah di luar jangkaan,” katanya.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Persidangan tahunan anjuran Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), UKM bertemakan 'Ketahanan dan Keterangkuman dalam Memacu Pemulihan Ekonomi di Era Ketidakpastian Geo-Politik' itu disertai kira-kira 350 orang terdiri daripada kakitangan pentadbiran dan profesional dari sektor awam dan swasta. - Bernama