PRK Kemaman: Redah hujan, bonceng motor lebih 200km balik mengundi

Muhammad Amin
Muhammad Amin
A
A
A

KEMAMAN - Hujan dan jarak lebih 200 kilometer (km) tidak menghalang pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang bekerja di luar kawasan untuk pulang menjalankan tanggungjawab.

Pegawai estet, Muhammad Amin Mutadeen, 30, berkata, dia sanggup membonceng motosikal selama tiga jam dari Rompin, Pahang dan meredah hujan untuk tiba di kampung halaman di Kijal, dekat sini pada malam Jumaat.

"Saya semangat untuk balik undi sebab itulah saya balik juga semalam. Walaupun hujan sepanjang jalan tapi saya tetap redah. Alhamdulillah, selamat sampai malam tadi.

"Cuaca juga baik pada pagi ini. Ini tanda tuhan merestui untuk kami (rakyat) tunaikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang akan mewakili kawasan Parlimen ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kijal, di sini pada Sabtu.

Muhammad Azha Sahil
Muhammad Azha Sahil

Sementara itu, pengundi muda, Muhammad Azha Sahil Mutadeen, 18, berkata, dia bersemangat dan teruja untuk keluar mengundi awal pagi kerana kali pertama dapat menunaikan tanggungjawab memilih untuk menentukan wakil rakyat di kawasan itu.

"Saya tiba pada jam 8 pagi tadi. Ini kali pertama saya mengundi sebab pilihan raya sebelum ini, tidak dapat sebab hari jadi tak sampai lagi (dilahirkan sebelum Ogos).

Artikel Berkaitan:

"Rasa gembira sebab pertama kali dapat memilih pemimpin. Ini merupakan peluang anak muda dapat rasai tunaikan tanggungjawab menentukan wakil rakyat yang terbaik," ujarnya.

Pasangan adik beradik itu juga turut memakai baju dan mafla Palestin sebagai tanda solidariti bersama rakyat Palestin sambil menuntut gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

PRK Parlimen Kemaman diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

PRK Kemaman dijangka menelan belanja RM3.5 juta, melibatkan 2,102 petugas dan 49 pusat mengundi yang mengandungi 244 saluran.

Parlimen ini mempunyai 141,790 pemilih berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Ogos yang dikemas kini sehingga 3 Oktober, merangkumi 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan tentera dan pasangan serta 12 orang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang amendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!