Perak cadang tanah jerlus disenaraikan sebagai bencana

Mohd Zolkafly ketika menjawab soalan lisan daripada Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat.
Mohd Zolkafly ketika menjawab soalan lisan daripada Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kejadian tanah jerlus melibatkan sawah padi akan disenaraikan dalam skop bantuan kejadian bencana, kata Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan melalui Jawatankuasa Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) di peringkat negeri dan Persekutuan serta memerlukan kelulusan di peringkat Jabatan Pengurusan Negara (NADMA).

Menurutnya, berdasarkan rekod (IADA) Kerian, seluas 595 hektar sawah telah terjejas akibat tanah jerlus melibatkan empat mukim iaitu Parit Buntar, Bagan Tiang, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

"Sehingga kini, kes tanah jerlus ini masih belum diwartakan sebagai kategori bencana.

"Kita ambil maklum perkara ini kerana tanah jerlus merupakan satu fenomena sering berlaku kepada pengusaha sawah padi yang mengakibatkan kerugian apabila hasil tani tidak dapat dituai dengan jentera berat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Hakimi Hamzi Mohd Hayat (PN-Titi Serong) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Zolkafly berkata, buat masa ini, permohonan bantuan masih boleh dihantar untuk diproses dengan disertakan bersama Laporan Teknikal daripada Jabatan Pertanian disertakan bersama untuk permohonan bagi bantuan TBTP.

"Bagaimanapun kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Teknikal Induk di peringkat negeri dan kementerian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, di peringkat IADA Kerian, beberapa perancangan dilaksanakan bagi mengatasi masalah tanah jerlus di kawasan yang terjejas.

Katanya, antara langkah diambil ialah perataan tanah sawah untuk menyokong sistem pengairan yang sempurna.

"Langkah lain dilakukan penyelenggaraan batas parit ladang sebagai laluan air, penggunaan jentera yang sesuai dengan tahap kekuatan galas tanah dan penggunaan bahan pelengkap tanah," katanya.