MARDI perkenal tujuh teknologi tingkat pengeluaran padi

MARDI memperkenalkan tujuh teknologi dalam rantaian pengeluaran padi dan beras negara untuk kegunaan kumpulan sasar bagi meningkatkan pendapatan petani dan kelestarian pengeluaran bahan makanan ruji itu. (Gambar kecil: Mohamad Zabawi)
MARDI memperkenalkan tujuh teknologi dalam rantaian pengeluaran padi dan beras negara untuk kegunaan kumpulan sasar bagi meningkatkan pendapatan petani dan kelestarian pengeluaran bahan makanan ruji itu. (Gambar kecil: Mohamad Zabawi)
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan tujuh teknologi dalam rantaian pengeluaran padi dan beras negara untuk kegunaan kumpulan sasar bagi meningkatkan pendapatan petani dan kelestarian pengeluaran bahan makanan ruji itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, teknologi itu membabitkan Varieti Padi MARDI, Pakej Lestari Padi MARDI, Baja RealStrong N Bio Booster dan Pakej Pengurusan Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).

Selain itu, ia turut membabitkan Teknologi Kawalan Padi Angin, Sistem Amaran Awal (EWS) serangga perosak benah perang, dan Sistem Penentuan Indeks Perataan Tanah.

Jelasnya, melalui teknologi yang diperkenalkan itu diharap mampu menjamin sekuriti makanan negara.

"Projek khas penggunaan teknologi-teknologi ini telah dijalankan di tiga lokasi berasingan iaitu di Kg Lahar Kemeling, Kodiang, Kedah dengan keluasan lima hektar dan Ladang Merdeka Ismail Mulong, Kelantan dengan keluasan lima hektar.

"Satu lagi lokasi ialah dan di Tali Air 2 Ban 3, Sungai Burong, Selangor, di atas tanah berkeluasan lapan hektar.

"Kita harap projek khas ini dapat memberi contoh amalan terbaik dalam penanaman dan pengeluaran padi serta menambah baik penerimaan petani dan pemain industri terhadap teknologi yang telah dibangunkan oleh MARDI," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, komponen utama dalam projek khas tersebut adalah penggunaan varieti padi MR297 yang diperkenalkan pada tahun 2016 kerana dipercayai dapat memberikan hasil tuaian yang baik dan mempunyai kerintangan tinggi terhadap penyakit karah.

Artikel Berkaitan:

Ujar Mohamad Zabawi lagi, pihaknya juga menyediakan Pakej Lestari Padi MARDI yang dikeluarkan dalam bentuk Manual Teknologi Penanaman Padi Lestari bagi mendedahkan prinsip serta teknologi kepada kakitangan pengembangan dan petani yang boleh digunakan untuk pengeluaran hasil tinggi dan berdaya maju.

Menurutnya, manual ini adalah terhadap penyediaan tanah yang rapi, penggunaan kadar benih optimum, kawalan perosak dan penyakit yang berkesan dan penggunaan baja tambahan selain baja subsidi diberi oleh kerajaan.

"MARDI berharap pakej teknologi yang disyorkan ini dapat diamalkan oleh petani dan juga dapat dikembangkan melalui agensi dan jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai suatu alternatif kepada kaedah sedia ada bagi menjamin pengeluaran padi yang lestari," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!