Fauziah rela berkorban demi 'syurganya'

Fauziah akan menyuap makanan kepada suaminya di kediaman mereka di Taman Impian pada Jumaat.
Fauziah akan menyuap makanan kepada suaminya di kediaman mereka di Taman Impian pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Kasih sayang seorang isteri terhadap suaminya tidak pernah pudar sekalipun lelaki itu sudah tidak mempunyai kudrat selepas diserang angin ahmar sejak tujuh tahun lalu.

Kesetiaan Fauziah Husin, 59, dapat dilihatnya apabila dia tidak pernah sesekali mengeluh sepanjang menguruskan Mat Nawi Rejab, 67, malah wanita bertubuh kecil itu ingin terus berbakti kepada 'syurganya' sehingga ke akhir.

Menurutnya, meskipun turut diuji dengan penyakit saraf dan tulang, namun kesakitan ditanggungnya itu diketepikan demi menguruskan suami tercinta.

"Saya sakit saraf sudah lama, puncanya akibat terjatuh tangga. Kalau dulu saya kerap buat rawatan dan doktor pernah kata kena makan ubat seumur hidup.

"Sejak suami sakit, saya pun berhenti (buat rawatan), (setiap kali) terasa sakit saya buat tidak tahu (tahan). Jadi, saya hanya membeli ubat di farmasi. Saya juga ada masalah hendak ke hospital HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan), di mana saya kena tinggal suami lama di rumah, selain ada masalah pengangkutan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Impian dekat sini pada Jumaat.

Fauziah tetap tersenyum dan setia menemani Mat Nawi yang kini tiada keupayaan bergerak di rumahnya di Taman Impian di sini
Fauziah tetap tersenyum dan setia menemani Mat Nawi yang kini tiada keupayaan bergerak di rumahnya di Taman Impian di sini

Fauziah memberitahu keadaan tangannya kini yang sentiasa kebas dan kadang kala tidak mampu memegang barang dengan sempurna akibat daripada penyakit tersebut.

Ujarnya, doktor pernah mencadangkan agar dia menjalani pembedahan saraf suatu ketika dahulu, namun hasrat itu terpaksa dilupakan kerana kosnya mencecah sehingga RM8,000.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jumlah tersebut cukup membebankannya kerana dia tidak mempunyai pekerjaan dan wang simpanan.

"Cuma kalau ada rezeki, saya memang hendak buat terapi saraf di hospital. Tulang belakang (saya) sudah bengkok dan rapat, jadi saya sakit serta sering kali tidak dapat tidur pada waktu malam.

"Buat masa ini, saya tidak kisah pasal sakit ini, cuma niat saya hendak tumpu untuk dia (suami) sahaja. Untuk saya Insya-ALLAH, saya selalu minta (berdoa) agar ALLAH beri kesihatan baik untuk saya jaga dia sehingga sihat," katanya yang tidak mempunyai anak.

Berkongsi kisah suami yang hilang keupayaan bergerak, Fauziah memberitahu, Mat Nawi mengalami serangan angin ahmar sekitar 2017 dan berada di HTAA selama dua minggu sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, akibat serangan terbabit, percakapan Mat Nawi juga terganggu, selain perlu berkerusi roda kerana kaki dan tangannya tidak boleh bergerak.

Tambah Fauziah, suaminya juga turut menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi serta perlu mengambil ubat-ubatan setiap hari.

"Jadi, atas alasan itu saya berhenti kerja kerani di sebuah syarikat swasta. Keputusan itu berat kerana saya boleh hilang punca pendapatan sepenuhnya.

"Tapi demi dia saya reda untuk berkorban. Saya bersyukur sebab semua urusan bagi makan, minum dapat saya uruskan dengan baik termasuk membersihkan badan serta menyalin lampin pakai buangnya,"luahnya yang berpuas hati kerana dapat berbakti kepada suami.

Ditanya mengenai perbelanjaan bulanan, Fauziah berkata, kelangsungan hidup mereka berdua bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan zakat daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sekitar RM900 sebulan.

Katanya, wang bantuan tersebut digunakan sepenuhnya untuk membayar sewa rumah RM450 manakala bakinya membeli barang keperluan seperti lampin pakai buang suami serta bil utiliti.

Luah wanita itu, walaupun tidak banyak, namun dia turut menerima sumbangan daripada pihak tertentu sekali gus dapat meringankan beban keluarganya.

Fauziah amat memerlukan bantuan kerusi roda baharu memandang kemudahan sedia ada sering rosak.
Fauziah amat memerlukan bantuan kerusi roda baharu memandang kemudahan sedia ada sering rosak.

"Saya reda dengan keadaan ini. ALLAH maha tahu kesusahan kita macam mana, jadi (bila) saya (buat) keputusan (berhenti kerja) biarlah. Saya tawakal dan yakin ada rezeki.

"Apabila kita dalam kewangan sedikit, kita pandai berjimat dan tidak akan boros, tahap umur kita ini hendak hidup makan sahaja," ujarnya yang pernah berdepan kesukaran hidup apabila terpaksa menjual kereta dan motosikal bagi melunaskan tunggakan rumah sewanya.

Sehubungan itu, Fauziah juga memerlukan bantuan kerusi roda baharu memandang kemudahan sedia ada sering rosak dan mengharapkan bantuan itu diperoleh daripada mana-mana pihak.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 156093979359 untuk membantu keluarga berkenaan.