PDRM rampas pelbagai barangan cecah RM920 juta tahun ini

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan dilaksanakan. Gambar kecil: Hazani
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan dilaksanakan. Gambar kecil: Hazani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai barangan tidak berkastam, hidupan liar dan barangan kawalan dianggarkan bernilai RM920 juta pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, statistik sepanjang Januari hingga November itu direkodkan hasil 7,033 serbuan termasuk Op Kontraban, Op Tiris dan Op Bersepadu Khazanah.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seramai 5,099 individu ditahan pihaknya khususnya Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP).

"Rampasan melibatkan makanan sejuk beku, ubat-ubatan palsu, barangan tidak berkastam, hidupan liar dan barangan kawalan.

“KDNKA amat komited dalam membantu kementerian serta agensi bawah kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan dalam melancarkan operasi berkualiti sehingga berjaya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Hazani berkata, pihaknya sentiasa fokus dalam usaha memerangi kegiatan penyeludupan barangan tidak berkastam, penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi selain memelihara khazanah negara.

Jelasnya, ini bagi memastikan hasil negara sentiasa dapat dilindungi dan terpelihara.

Artikel Berkaitan:

Zam Halim (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada tiga suspek di sebuah kondominium mewah di Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.
Zam Halim (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas daripada tiga suspek di sebuah kondominium mewah di Cheras, Kuala Lumpur pada Rabu.

“Penglibatan dan kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis digalakkan bagi memastikan kegiatan jenayah seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya,” ujarnya.


Tiga sekawan dicekup bersama dadah bernilai lebih setengah juta

Dalam perkembangan berasingan, dadah lebih RM500,000 dirampas daripada tiga sekawan yang membungkus semula bahan terlarang itu di sebuah kondominium mewah di Cheras, dekat sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, tangkapan tersebut dibuat dalam dua serbuan bermula jam 9 malam.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun serta merampas dadah jenis methamphetamine.

"Lanjutan daripada serbuan pertama, pihak polis melakukan serbuan kedua di sebuah kondominium dan menahan seorang wanita warga tempatan berusia 19 tahun.

"Seorang suspek lelaki disahkan positif dadah jenis methamphetamine, manakala dua lagi negatif dadah," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zam Halim berkata, menerusi serbuan tersebut, pihaknya merampas dadah jenis methamphetamine, estacy, heroin dan serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA).

Menurut beliau, nilai keseluruhan dadah dirampas dianggarkan berjumlah RM516,373.

Selain itu kata beliau, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM450.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai bergiat aktif sejak Ogos lalu dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

Jelasnya, bekalan dadah dipercayai dijual kepada rakan dan kenalan rapat selain turut menggunakan kemudahan media sosial bagi memaklumkan kepada pelanggan tetap.

Tambahnya, pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek ditahan itu mempunyai rangkaian dengan sindiket dadah lain.

"Kesemua suspek akan direman selama tujuh hari sehingga 6 Disember ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Mereka yang ditahan itu dipercayai tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan aktiviti mengedar dadah sebagai mata pencarian.

"Kesemua yang ditahan masing-masing mempunyai dua rekod dadah sebelum ini," ujarnya.