Perak umum belanjawan terbesar dalam sejarah

Saarani menunjukkan Buku Belanjawan Negeri Perak sebelum membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2024 di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Jumaat.
Saarani menunjukkan Buku Belanjawan Negeri Perak sebelum membentangkan Belanjawan Negeri Perak 2024 di Pejabat Menteri Besar Perak di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengumumkan Belanjawan 2024 berjumlah RM1.35 bilion iaitu yang terbesar pernah dibentangkan dalam sejarah sempena Mesyuarat Kelima Tahun Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

Mengekalkan tema Perak Makmur, Rakyat Sejahtera, peruntukan belanjawan tersebut meningkat berbanding tahun lalu hanya RM1.19 bilion.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, peruntukan belanjawan kali ini meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM856 juta manakala perbelanjaan pembangunan RM491 juta.

"Belanjawan Negeri Perak 2024 berteraskan kepada lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar dan Keterjaminan Bekalan Makanan.

"Kelima-lima fokus yang saling melengkapi ini menjurus kepada usaha berterusan kerajaan negeri bagi menjayakan tiga sasaran utama pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Sejahtera Ekonomi, Sejahtera Sosial dan Sejahtera Politik," katanya ketika membentangkan belanjawan tersebut.

Saarani berkata, pelaksanaan Belanjawan Negeri Perak 2024 dirangka berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan sebanyak RM1.28 bilion terdiri daripada hasil cukai RM657.7 juta, hasil bukan cukai RM392.2 juta, terimaan bukan hasil RM192.6 juta dan terimaan Pembangunan RM37 juta.

Menurutnya, perbelanjaan pembangunan pula menyaksikan pertambahan dalam jumlah yang besar iaitu RM96 juta berbanding Belanjawan tahun 2023 bagi memenuhi keperluan pembangunan dan kebajikan demi manfaat rakyat.

Jelasnya, daripada unjuran hasil dan perbelanjaan tersebut, Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 dijangka ditutup pada kadar defisit RM67.5 juta.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saarani memaklumkan pembentangan kali ini lebih istimewa apabila reka bentuk Buku Belanjawan Negeri Perak mendapat sentuhan kreatif oleh Seniman Diraja, Datuk Mohammad Nor Mohd Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat yang merupakan seorang kartunis Malaysia berasal dari Perak.