Syarat ketat sebelum lulus projek kuari

Saarani (kanan) ketika menjawab soalan V Bavani (PH-Malim Nawar) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Jumaat.
Saarani (kanan) ketika menjawab soalan V Bavani (PH-Malim Nawar) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak memberikan syarat yang ketat dengan menjalankan tapisan keselamatan terhadap pengoperasian sesuatu projek kuari di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengoperasiannya memerlukan Surat Kelulusan Skim Pengkuarian (SKSK) atau Surat Kelulusan Sijil Pengendalian Melombong (SKSPM) yang dikeluarkan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Menurutnya, permohonan mendapatkan SKSK atau SKSPM itu akan dibawa untuk pertimbangan Jawatankuasa Penasihat Pengkuarian Negeri Perak yang ditubuhkan di bawah Dasar Kuari Perak 2004 dianggotai jabatan teknikal antaranya Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

"Jika semua jabatan setuju kawasan itu diusahakan kuari, maka baru boleh diluluskan.

"Namun sekiranya ada mana-mana jabatan teknikal yang tidak bersetuju contohnya JMG dan JKR melaporkan kemungkinan besar berlaku runtuhan besar, maka jawatankuasa tidak akan meluluskan kawasan tersebut diusahakan sebagai kawasan pengkuarian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan V Bavani (PH-Malim Nawar) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Jumaat.

Saarani berkata, jawatankuasa yang bersidang dengan kekerapan empat kali setahun ini turut meneliti dan membincangkan aduan dan insiden berkaitan operasi pengkuarian dan perlombongan seperti kemalangan runtuhan batu yang melibatkan kematian dan kecederaan pekerja kuari.

Katanya, antara garis panduan yang diguna pakai bagi maksud pembangunan adalah Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit dan Tanah Tinggi yang dibangunkan pada 2009 oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia (PlanMalaysia).

Artikel Berkaitan:

"Bagi tahun 2022 sehingga 2023, JMG Perak merekodkan sembilan kejadian kemalangan di tapak kuari dengan melibatkan lima kematian dan dua kecederaan kepada pekerja.

"Semua kemalangan itu kebanyakannya melibatkan kejadian runtuhan batu serta kerosakan jentera di tempat operasi," katanya.