197 pegawai KPDNHEP Selangor pantau harga sempena Tahun Baru Cina

Pemenang-pemenang Golden Brand Award bergambar dengan Azizan Abdullah (tengah) dan wakil daripada MTPN.
Pemenang-pemenang Golden Brand Award bergambar dengan Azizan Abdullah (tengah) dan wakil daripada MTPN.
A
A
A

SUBANG JAYA - Seramai 197 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor akan memantau dan memeriksa pengilang, pengedar, pemborong serta peruncit di seluruh negeri sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Timbalan Pengarahnya, Azizan Abdullah berkata, KPDNHEP Selangor turut bekerjasama dengan pegawai pemantau harga yang merupakan mata dan telinga bagi menjalankan pemeriksaan Skim Harga Minimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi menyekat kenaikan harga barangan menjelang Tahun Baru Cina.

Menurutnya, langkah itu sekali gus melindungi pengguna daripada peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan.

"Kementerian akan mengenal pasti barangan yang dikawal bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina dan melaksanakan pemantauan serta pemeriksaan,” katanya pada Majlis Anugerah Syor Pengguna 2019 di Hotel Geno di sini.

Hadir sama, Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Datuk Dr Kevy KV Yeo; Yang Dipertua MTPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, John Lok dan Penasihat Persatuan Pengguna Sedunia, Khair Ahmad.

Seramai 20 Usahawan SME yang berusaha cemerlang telah diiktiraf dan dianugerahkan Golden Brand Award oleh MTPN pada Majlis Anugerah Syor Pengguna 2019.

Mengulas lanjut, Azizan berkata, penentuan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit dibuat mengikut kesesuaian untuk memastikan harga barangan berpatutan kepada pengguna serta peniaga.

Pada masa sama, beliau berkata kenaikan harga akan dipantau melalui Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan 2011 supaya setiap harga selaras dengan peraturan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Sehubungan itu, saya menyarankan supaya peniaga mengikuti arahan dan beretika dalam menguruskan perniagaan manakala pengguna mesti mengetahui tanggungjawab dan hak mereka,” katanya.

Sementara itu, John berkata, Anugerah Syor Pengguna merupakan anugerahan yang mementingkan kualiti, ini adalah seperti pasaran Malaysia yang perlu mementingkan kualiti daripada kuantiti.

Katanya, 20 Usahawan SME yang diiktiraf dan dianugerah Golden Brand Award oleh MTPN bermakna mereka sudah melalui proses audit yang adil dan ketelusan yang dijalankan oleh MTPN.