Kegiatan ambil untung dorong Bursa Malaysia dibuka rendah

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.58 mata kepada 1,459.45 daripada 1,462.03 pada penutup semalam. Foto hiasan
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.58 mata kepada 1,459.45 daripada 1,462.03 pada penutup semalam. Foto hiasan
A
A
A

KEMUNCULAN kegiatan pengambilan untung di tengah-tengah sentimen lemah berikutan prestasi semalaman Wall Street yang kurang menggalakkan mendorong Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi urus niaga Khamis.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.58 mata kepada 1,459.45 daripada 1,462.03 pada penutup semalam.

Indeks utama memulakan dagangan pada paras 1,460.36, turun sedikit sebanyak 1.67 mata.

Pergerakan harga di pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 131 berbalas 100, manakala 214 kaunter tidak berubah, 1,842 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 134.67 juta unit bernilai RM55.44 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, Wall Street mempamerkan prestasi lemah apabila peniaga terus menantikan pengeluaran angka indeks harga pengguna Amerika Syarikat (AS) untuk Julai lewat hari ini bagi mendapatkan hala tuju selain disebabkan oleh penurunan taraf sektor perbankan negara oleh Moody's.

Sementara di dalam negara, beliau berkata, FBM KLCI ditutup lebih tinggi semalam apabila pembelian daripada dana asing terus melonjakkan indeks utama ke paras tertinggi dalam tempoh lima bulan.

"Berdasarkan corak belian ini, kami mengunjurkan indeks akan meningkat lebih tinggi, justeru, indeks dijangka berlegar dalam julat 1,460 dan 1,470 hari ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan momentum belian di Bursa akan kekal stabil, disokong oleh pulangan kedudukan belian bersih daripada dana asing.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB masing-masing susut tiga sen kepada RM8.97 dan RM5.62 manakala Public Bank dan Tenaga, kedua-duanya kehilangan dua sen untuk mencatatkan harga RM4.15 dan RM9.62.

IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM5.95 sementara Petronas Chemicals dan CelcomDigi tidak berubah, masing-masing merekodkan harga RM6.85 dan RM4.44.

Saham aktif pula, Classita peroleh setengah sen kepada 10.5 sen, Bumi Armada meraih dua sen menjadi 52.5 sen, Handal dan Tanco turun setengah sen, masing-masing mencatatkan 26 sen dan 54.5 sen, dan Advance Synergy tidak berubah pada 17.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 14.32 mata menjadi 10,705.38, Indeks FBMT 100 susut 14.75 mata kepada 10,705.38 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 1.42 mata kepada 10,942.37.

Indeks FBM 70 susut 4.38 mata kepada 13,993.88 dan Indeks FBM ACE lemah 2.68 mata kepada 5,313.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 45.84 mata kepada 16,311.35, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.01 mata menjadi 167.08, manakala Indeks Tenaga naik 6.3 mata kepada 831.99, dan Indeks Perladangan menambah 0.96 mata untuk mencatatkan paras 7,170.8. - Bernama