Air Selangor semarakkan sambutan Hari Kebangsaan

Para sukerelawan bersama anak-anak Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih pada program Sesama Mara yang diadakan baru-baru ini.
Para sukerelawan bersama anak-anak Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih pada program Sesama Mara yang diadakan baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya, Sesama Mara dengan menyalurkan sumbangan kepada tiga buah rumah kebajikan di sekitar Selangor.

Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, dengan komitmen berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan, syarikat itu telah menyumbangkan barangan keperluan asas termasuk barangan makanan, pakaian harian, perabot asas, peralatan elektrik serta barangan kelengkapan sekolah.

Menurut kenyataan itu, tiga rumah kebajikan yang terlibat ialah rumah anak-anak yatim dan warga emas House of Love (Pertubuhan Rumah Anak Yatim Berkat Kasih) di Klang, Persatuan Rumah Kanak-Kanak Ini Disayangi di Subang Jaya dan Rumah Amal Limpahan Kasih di Puchong.

Beberapa sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar salah satu rumah kebajikan yang dikunjungi.
Beberapa sukarelawan bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar salah satu rumah kebajikan yang dikunjungi.

“Para sukarelawan dalam kalangan warga kerja Air Selangor yang dikenali sebagai Hydro Heroes Air Selangor juga turut mengadakan aktiviti gotong-royong untuk membersihkan rumah kebajikan. Mereka juga menghias rumah dengan bendera Malaysia untuk memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 pada tahun ini,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program Sesama Mara merupakan inisiatif di peringkat akar umbi yang bertujuan untuk menyumbang kembali kepada komuniti sekitar di samping mengukuhkan hubungan dengan penduduk tempatan, persatuan penduduk, pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program Sesama Mara diadakan bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 pada tahun ini.
Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program Sesama Mara diadakan bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66 pada tahun ini.

“Sumbangan yang dihulurkan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membawa keceriaan kepada kesemua penghuni di rumah-rumah kebajikan ini dan memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan kali ini,” kata kenyataan itu.

Orang ramai yang berminat untuk menderma menerusi inisiatif Box of Hope yang berupa pakej sumbangan pembelian barangan makanan asas seperti tepung, beras, makanan dalam tin, susu tepung dan minyak boleh menyalurkan derma mereka menerusi www.airselangor.com/boxofhope.