'Mereka tak rugi apa pun, malah lebih untung'

Asap rokok telah membunuh 27,000 orang setiap tahun iaitu jumlah kematian tertinggi berbanding kemalangan
jalan raya.
Asap rokok telah membunuh 27,000 orang setiap tahun iaitu jumlah kematian tertinggi berbanding kemalangan jalan raya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) melahirkan rasa kecewa fasal yang berkaitan generasi penamat (GEG) digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Ini kerana usaha untuk memastikan generasi masa depan yang bebas rokok telah lama digerakkan oleh pelbagai pihak, menurut Setiausaha Agung MCTC Muhammad Sha’ani Abdullah.

"Kami amat kecewa dengan pengguguran fasal GEG," katanya pada Rabu.

Jelasnya, bancian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencegah tabiat merokok di dalam kalangan rakyat berada pada kadar 21.5 dan 21.3 iaitu menunjukkan pencapaian yang tiada kemajuan.

"Bancian juga menunjukkan tabiat merokok di dalam kalangan remaja telah melonjak kepada 15 peratus," katanya.

Beliau berkata, perkara itu akan terus membelenggu negara berikutan tiada kesedaran mengenai larangan penjualan produk tembakau dan rokok serta larangan merokok.

"Larangan tersebut bertujuan melindungi semua orang daripada bahaya asap rokok yang mempunyai 6,000 racun," katanya.

Ujar Muhammad Sha’ani, asap rokok telah membunuh 27,000 orang setiap tahun iaitu jumlah kematian tertinggi berbanding kemalangan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat keputusan pengguguran fasal GEG ini telah memihak kepada industri," katanya.

Dakwa beliau, pihak industri rokok berusaha memansuhkan fasal berkaitan GEG kerana inginkan rokok dan produk rokok terus mendapat tempat di pasaran pada masa ini dan akan datang.

"Budak-budak (remaja) sudah tidak minat dengan rokok. Mereka lebih cenderung dengan rokok elektronik yang mempunyai pelbagai pelbagai bentuk dan perisa.

"Sebab itulah rokok elektronik yang berada di pasaran dicipta untuk menarik minat golongan peringkat umur ini," katanya.

Selain itu, beliau mendakwa, peningkatan harga rokok hanya naratif yang dimainkan pihak industri.

"Sama ada orang membeli rokok sah atau seludup, ia datang daripada kilang yang sama.

"Mereka tidak rugi apa pun, malah lebih untung kerana ada pasaran rokok seludup yang dijual lebih murah," katanya.

Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan sekali lagi untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa.