Empat mangsa tidak tertimbus tapi melarikan diri - Polis

Mohamed Usuf
Mohamed Usuf
A
A
A

BAYAN LEPAS - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan empat pekerja buruh binaan yang disyaki tertimbus dalam runtuhan 15 rasuk di tapak pembinaan sebuah gudang di Batu Maung di sini masih hidup.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, kesemua mereka memang berada di lokasi kejadian ketika insiden itu berlaku namun telah melarikan diri kerana ketakutan.

Oleh demikian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan sejak 10.30 malam Selasa telah dihentikan pada jam 6.30 petang Rabu.

Kata Mohamed Usuf, keempat-empat pekerja warga Bangladesh itu ditahan di sekitar Bayan Lepas pada jam 4 petang dan telah diambil keterangan.

"Kita mengesan mereka berada di sekitar Bayan Lepas dipercayai telah melarikan diri kerana ketakutan. Mereka memang berada di lokasi kejadian ketika struktur tersebut runtuh namun melarikan diri.

"Saya mengesahkan keempat-empat pekerja yang dikatakan tertimbus sebenarnya masih hidup. Oleh itu, kita menamatkan operasi SAR setelah berpuas hati bahawa tiada mangsa yang tertimbus.

"Oleh itu, mangsa dalam kejadian ini kekal lima orang iaitu tiga maut (dua maut di lokasi kejadian dan seorang di hospital) serta dua lagi cedera parah," katanya kepada media di lokasi kejadian pada Rabu.

Kata beliau, polis mengesan keempat-empat pekerja asing itu melalui rakaman kamera di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Rakaman kamera menunjukkan pada jam 9.06 malam Selasa, kesemua mereka berada di lokasi kejadian. Rakaman menunjukkan mereka melarikan diri ketika struktur tersebut runtuh. Kita percaya, kesemua mereka yang melarikan diri tiada permit kerja yang sah.

"Setakat ini, kita menjalankan siasatan sebagai mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, siasatan di lokasi dijalankan oleh pihak bomba, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

"Dapatan daripada agensi-agensi ini akan diserahkan kepada polis, dan jika ada elemen-elemen tertentu, mungkin kita akan klasifikasikan kes daripada SDR kepada seksyen yang bersesuaian," katanya.

Mengulas mengenai operasi SAR, Mohamed Usuf berkata, pihak polis serta pasukan menyelamat lain telah menggunakan lima elemen dalam misi mencari mangsa.

"Lima elemen yang digunakan adalah CSI, mengorek keseluruhan runtuhan, Unit K9, dron dan Pasukan STORM.

"Kita berpuas hati dengan kelima-lima elemen yang digunakan apabila keputusan yang diperolehi mendapati, tiada mangsa yang tertimbus," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Ts Zulfahmi Sutaji berkata, pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Lepas akan kekal di lokasi kejadian untuk sementara waktu.

"Walaupun operasi SAR telah dihentikan, kita akan 'standby' pegawai dan anggota dari BBP Bayan Lepas sekiranya ada penemuan baharu.

"Setakat ini, tiada apa-apa yang berlaku, kita mengharapkan tiada apa-apalah. Selepas ini, kita akan serahkan tapak ini kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan seterusnya," katanya.