Pelajar perlu tingkat kemahiran berfikir untuk hadapi cabaran IR4.0

No Image Caption
A
A
A

PAPAR - Pelajar perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan sekali gus meningkatkan kemahiran berfikir bagi menghadapi Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) yang menjadi antara cabaran terkini dalam bidang pendidikan, kata Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Dr Daud Yusof.

Daud berkata, perkembangan terbaharu itu merupakan satu persaingan sengit pada abad ini khususnya untuk melahirkan pelajar berfikiran kreatif dan kritis selain mampu meningkatkan keupayaan serta kebolehan sedia ada.

“Sebab itu penguasaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan pelajar sangat penting khususnya untuk tujuan menghadapi peperiksaan atau pun kegiatan di luar sekolah.

“Pelajar menguasai KBAT mampu menyelesaikan masalah dalam pelbagai bentuk serta idea baharu kerana wujudnya pemikiran kreatif dan inovatif,” katanya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan Majlis Gunting Rambut sempena program Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Seramai 191 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Bongawan menyertai program dianjurkan secara percuma itu sehingga esok. Terdapat 19 sekolah rendah dan tiga sekolah menengah di Bogawan.

Daud yang Juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan berkata, selain guru di sekolah, ibu bapa turut memainkan peranan penting bagi memastikan anak-anak mereka benar-benar menguasai KBAT memandangkan kaedah belajar pada abad ini semakin sengit dan mencabar.

“Ibu bapa pada zaman dahulu mengharapkan anak mereka sekadar tahu menulis, membaca dan mengira. Tuntutan pendidikan pada era globalisasi ini ialah mengkehendaki pelajar berfikiran aras tinggi sebagai pelapis kepimpinan negara,” katanya.

Justeru, Daud mengajak ibu bapa supaya bersedia menghadapi perubahan terkini itu dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan masing-masing termasuk mengambil tahu perkembangan semasa sebagai sokongan kepada keperluan anak-anak ke arah menguasai KBAT. - Bernama

Artikel Berkaitan: