Lelaki maut jatuh tingkat 12 kondominium

gf
gf
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium dekat Stulang Laut, di sini kira-kira jam 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa dikenali sebagai Choong Kin Onn, 32, ditemui tersangkut di koridor tingkat empat bangunan berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai jatuh dari tingkat 12 bangunan kondominium itu dan tersangkut di koridor tingkat empat bangunan.

“Lelaki itu menyewa di tingkat 12 dan dipercayai ada masalah dengan teman wanitanya.

“Siasatan polis tidak menjumpai sebarang unsur jenayah. Mayat dikeluarkan oleh anggota bomba dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, siasatan dan tindakan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.

Sementara itu Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru, Lasidin Nariano berkata, mayat lelaki berkenaan berjaya dikeluarkan dalam tempoh 45 minit melalui sebuah rumah kosong di kondominium itu.

Katanya, seramai 11 anggota bomba dengan satu jentera dan satu EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Bahru dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Artikel Berkaitan: