Reben Kuning usaha KBS bantu banduan sertai TVET

Nagulendran (empat, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Sekolah Henry Gurney ketika Majlis Penutup Projek Reben Kuning 2023 di Telok Mas di sini, pada Rabu.
Nagulendran (empat, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Sekolah Henry Gurney ketika Majlis Penutup Projek Reben Kuning 2023 di Telok Mas di sini, pada Rabu.
A
A
A

Melaka - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berusaha membantu memberikan peluang lebih baik kepada banduan menerusi latihan kemahiran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Ketua Setiausahanya, Ts.Dr. K. Nagulendran berkata, di bawah program Reben Kuning golongan itu dapat menyertai pelbagai program inklusif TVET secara tidak langsung memberi sinar untuk mereka memulakan kehidupan selepas dibebaskan.

Menurutnya, bidang TVET dapat memberikan peluang yang lebih besar pada masa depan berbanding graduan biasa, malah banduan yang mengikuti insiatif itu juga berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

"Tahun depan kita rancang akan buat jelajah untuk bantu mereka memohon masuk ke Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) dan sebagainya.

"Dah ada pelajar sekolah (Henery Gurney) yang masuk, dan kita akan pergiatkan lagi dengan sokongan Jabatan Penjara supaya lebih ramai yang dapat masuk ke ILKBS," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutup Projek Reben Kuning 2023 di Sekolah Henry Gurney di Telok Mas di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman.

Tambah beliau, penghuni sekolah tersebut belajar seperti sekolah biasa dan mereka juga boleh memohon untuk memasuki ILKBS selepas tamat menjalani hukuman.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sehingga sekarang seramai 33,049 peserta telah menyertai insiatif Reben Kuning sejak ia mula diwujudkan pada tahun 2019 dengan memperkenalkan lima kluster iaitu kemahiran, sukan, keusahawanan, kebolehpasaran dan kempen kesedaran.

"Pada tahun ini program latihan jangka pendek di bawah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia memberi tumpuan kepada dua kluster iaitu kemahiran dan kebolehpasaran membabitkan 100 banduan belia dan penghuni Sekolah Henry Gurney," ujarnya lagi.