RM235 juta untuk kutipan sisa pepejal, pembersihan awam di Kedah

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria (kanan) ketika menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria (kanan) ketika menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kedah mencecah RM235 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, bagaimanapun, tuntutan bayaran kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah adalah lebih RM40 juta dengan bayaran selebihnya ditanggung kerajaan Persekutuan.

Beliau memberitahu, jumlah tunggakan PBT di Kedah kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pula berjumlah RM89.5 juta melibatkan 11 PBT berdasarkan terimaan Kumpulan Wang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (KWPSPPA) berakhir 31 Oktober lepas.

“Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memiliki tunggakan lebih RM23 juta, diikuti Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) sebanyak RM12.6 juta, Majlis Daerah Yan (RM9.6 juta), Majlis Perbandaran Kulim Kedah (RM8.6 juta) dan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (RM8.4 juta).

"Seterusnya, Majlis Daerah Baling memiliki tunggakan sebanyak RM6.6 juta, Majlis Daerah Bandar Baharu (RM6.2 juta), Majlis Daerah Pendang (RM5.3 juta), Majlis Daerah Sik (RM3.8 juta), Majlis Daerah Sungai Petani (RM2.8 juta), Majlis Daerah Padang Terap (RM2.04 juta) dan PBT Hi-Tech mencecah RM301,409.30," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata sedemikian menjawab soalan Teh Swee Leong (Kota Darulaman-DAP) mengenai jumlah perbelanjaan pengurusan sisa pepejal dan hutang kepada SWCorp bagi setiap PBT pada 2023.

Mansor berkata, purata penerimaan sisa pepejal di Kedah pada tahun ini adalah 1,649 tan metrik sehari berbanding 1,675 tan metrik sehari setakat Oktober tahun ini.

Beliau berkata, keadaan ini bermakna berlaku peningkatan sisa sebanyak 1.5 peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya lagi, terdapat tiga tapak pelupusan sisa pepejal sanitari, sebuah loji insinerator dan sebuah Leachate Treatment Plant (LTP) yang beroperasi di Kedah milik Kerajaan Persekutuan.

Tambah Mansor, tapak pelupusan sanitari itu menyediakan kemudahan pusat perolehan bahan (MRF) yang berfungsi untuk mengasingkan bahan-bahan kitar semula sebelum dilupuskan bagi memastikan jangka hayat tapak pelupusan dapat bertahan lebih lama.

"Selain itu, bagi memastikan kelestarian alam sekitar, loji rawatan air larut resap yang dibina juga mampu merawat air larut resap (leachate) sebelum dilepaskan di sungai berhampiran setelah dirawat berdasarkan standard yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar," katanya.

Kongsi beliau, terdapat beberapa langkah jangka panjang yang diambil untuk memastikan pelupusan sisa pepejal yang lestari termasuklah membudayakan amalan kitar semula melalui pendekatan kreatif dan inovatif di peringkat sekolah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!