Nasihat terakhir Abu Samah azimat Nur Aisyah beraksi di Olimpik Paris 2024

Allahyarham mahu Nur Aishah buat yang terbaik kerana ia satu-satunya peluang yang ada buatnya dan Malaysia bersinar di Olimpik.
Allahyarham mahu Nur Aishah buat yang terbaik kerana ia satu-satunya peluang yang ada buatnya dan Malaysia bersinar di Olimpik.
A
A
A

NASIHAT dan kata-kata terakhir yang dititipkan oleh Allahyarham Datuk Abu Samah Abd Wahab menjadi azimat buat skuad berbasikal lebuh raya negara terutama juara kebangsaan, Nur Aisyah Mohamad Zubir yang melakar sejarah sebagai pelumba lebuh raya wanita pertama negara beraksi di Sukan Olimpik.

Ketua Jurulatih skuad berbasikal negara Mohd Yusof Nasir berkata, kata-kata nasihat dan semangat oleh Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) itu dizahirkan sewaktu beliau membawa Nur Aisyah berjumpa arwah di hospital, semalam.

"Bimbang juga masa jumpa sebab takut arwah tak ingat tapi Alhamdulilah dia ingat dan keadaan masa itu agak sedih.

"Banyak dinasihatkan dan antara saya ingat, Allahyarham mahu Nur Aishah buat yang terbaik kerana ia satu-satunya peluang...kita tak tahu bila lagi akan dapat. Jadi ini peluang untuk Nur Aisyah dan Malaysia bersinar di Olimpik,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok pada Rabu.

Beliau juga berkata, Abu Samah sempat berpesan agar Kejohanan Berbasikal Kebangsaan pada tahun hadapan dianjurkan di Selangor di samping memintanya menjaga pasukan lebuh raya Malaysia yang bersaing dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) dengan baik.

Sementara itu, Naib Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata pemergian Abu Samah adalah suatu kehilangan besar kepada keluarga berbasikal lebuh raya negara.

Beliau berkata, Abu Samah merupakan presiden untuk satu badan sukan paling lama menjawat jawatan itu dan terlalu banyak tenaga, masa serta wang ringgit dicurahkan kepada pembangunan sukan berbasikal negara.

"Kali terakhir saya berjumpa beliau adalah pada Jumaat lepas di rumahnya. Walaupun dalam keadaan lemah, beliau masih bersemangat untuk berbincang mengenai basikal, pasukan dan kerja.

Artikel Berkaitan:

"Inilah karakter beliau dan kematiannya mengejutkan banyak pihak yang mengenalinya. Saya menerima panggilan dan mesej dari seluruh dunia mengenai berita ini. Ini menunjukkan beliau merupakan seorang pemimpin sukan berbasikal yang disanjungi bukan saja di Malaysia tetapi di Asia dan antarabangsa,” katanya.

Allahyarham Abu Samah yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Mahkota Melaka pada 7 malam semalam, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semabok di sini pada jam 11.30 pagi ini dengan kehadiran lebih 800 sahabat seperjuangan dan atlet berbasikal mengiringi jenazah dari rumah ke tanah perkuburan.

Beliau mengidap kanser prostat tahap empat sejak setahun dan kesihatannya mula merosot sejak dua minggu lepas sebelum dimasukkan ke hospital pada Ahad kerana tiada selera makan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Halimah Ali, 82, tujuh anak serta cucu dan cicit.

Reputasi Abu Samah dalam sukan berbasikal sangat tinggi di pelbagai peringkat termasuklah memegang jawatan Presiden PKBM sejak 1990 dan melakar sejarah baharu dalam arena sukan tanah air apabila menerima Anugerah Merit Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF) pada Mei lepas.

Kejayaan itu sekali gus menjadikan beliau sebagai tokoh sukan pertama di negara ini yang menerima Anugerah Merit daripada badan induk dunia - Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI); benua - Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan wilayah serantau - ACF. - Bernama